Komunikasi berkesan perlu

TAWAU, 18 DIS – Komunikasi dua hala lebih berkesan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Polis Marin (PPM) dengan Polis Air dan Udara, Kepolisan Republik Indonesia (Polairud-Polri) mampu menangani jenayah rentas sempadan.

Sehubungan itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kecanggihan teknologi maklumat pada masa kini, seharusnya dimanfaatkan untuk penyaluran maklumat risikan yang lebih pantas. “PPM dan pasukan keselamatan Indonesia mempunyai hala tuju yang selari, dalam memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan barang kawalan, rokok dan gading gajah dan kita akan meneruskan kerjasama baik dengan pasukan keselamatan Indonesia dan berkongsi maklumat,” katanya pada Program Rendezvous (RV) Bersama Polairud Kalimantan Utara (Kaltara) di Perairan Sempadan Malaysia-Indonesia dekat sini hari ini. – Bernama