Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Komuniti bebas merokok boleh diwujudkan jika dapat dukungan

    ALOR GAJAH – Komuniti bebas merokok boleh diwujudkan jika mendapat dukungan dan sokongan daripada semua pihak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

    Hameed berkata sebagai contoh, Kampung Sungai Jerneh, Taman Berembang dan Inap desa Paya Lebar dalam kawasan DUN Ayer Limau masih aktif melaksanakan program Komuniti Bebas Asap Rokok (KBAR) sejak ia mula diperkenalkan pada 2012.

    Menurut Hameed, menariknya ketiga-tiga kawasan tersebut terletak di kawasan luar bandar sekali gus menunjukkan masyarakat kampung mempunyai kesedaran tinggi dalam mewujudkan Generasi Penamat (GEG) bebas tembakau.

    “Ketika ini, terdapat 30 rumah di Kampung Sungai Jerneh, 55 rumah di Taman Berembang dan 12 inap desa Paya Lebar aktif melaksanakan program KBAR sejak program berkenaan diperkenalkan.

    “Program ini (KBAR) merupakan usaha sama antara Kementerian Kesihatan, kerajaan Melaka dan komuniti untuk mempromosikan suasana rumah bebas dan tanpa sebarang bentuk amalan merokok, yang pada awalnya dikenali sebagai Rumah Bebas Asap Rokok dan kini dikenali sebagai Program Rumahku Bebas Tanpa Amalan Merokok (MyHOUSE),” katanya kepada Bernama di sini.

    Program KBAR merupakan usaha sama antara Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan Melaka dan komuniti untuk mempromosikan suasana rumah bebas dan tanpa sebarang bentuk amalan merokok, yang pada awalnya dikenali sebagai Rumah Bebas Asap Rokok dan kini dikenali sebagai Program Rumahku Bebas Tanpa Amalan Merokok (MyHOUSE). – Bernama
    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jerneh, Jaafar Atan berkata antara perkara membanggakan dirinya selepas menyertai program KBAR ialah apabila tiada kedai runcit di kampung berkenaan menjual rokok. – Bernama
    Damai dan nyaman, itulah gambaran yang dapat diluahkan apabila melangkah masuk ke kawasan kampung yang melaksanakan Program KBAR di Kampung Sungai Jerneh ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer ketika ditemui Bernama baru-baru ini. – Bernama

    Hameed berkata KBAR merupakan perluasan program Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) yang dilaksanakan di bawah Projek 1 Stop Center for Health (NCDP-1M) Community Setting bagi melindungi hak golongan majoriti bukan perokok daripada ancaman asap rokok, galakkan tidak merokok dan pembangunan polisi berkaitan aktiviti penjualan rokok.

    Selain itu, beliau berkata KBAR juga bertujuan mewujudkan kawasan larangan merokok dan amalan tidak merokok ketika majlis keraian, majlis rasmi di sesebuah komuniti serta menggalakkan komuniti yang merokok berhenti merokok dengan mengadakan saringan kesihatan dan saringan ketagihan merokok.

    Beliau berkata di dalam sesebuah komuniti, terdapat tempat guna sama untuk masyarakat berkumpul melaksanakan aktiviti kemasyarakatan iaitu surau, masjid, balai raya, sekolah, warung dan kedai makan, kedai runcit dan komuniti yang berperanan memastikan masyarakat setempat bebas asap rokok.

    “Sebagai contoh, ketika sesuatu keramaian seperti majlis perkahwinan, ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab dengan KBAR akan bertanya kepada tuan rumah untuk memasang gegantung menyatakan majlis berkenaan bebas asap rokok dan pengunjung yang hadir perlu mematuhi peraturan kendiri tersebut dengan memastikan mereka yang merokok hanya merokok di luar daripada kawasan majlis,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata di peringkat awal pelaksanaan MBAR yang diwartakan kerajaan negeri pada 2011, ada berpendapat jumlah kehadiran pelancong akan berkurangan namun perkara sebaliknya berlaku apabila lebih ramai pengunjung terutama yang sudah berkeluarga memilih Melaka untuk melancong.

    “Ada pengunjung yang lebih suka datang ke Melaka apabila zon larangan merokok diwujudkan di negeri ini iaitu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, kawasan Majlis Bandaraya Jasin dan Alor Gajah, sekitar bandar warisan di Banda Hilir dan Melaka Raya.

    “Selain itu, terdapat dua zon eksklusif larangan merokok iaitu di Jalan Kota dan Jonker Walk dengan pengunjung langsung tidak dibenarkan merokok walaupun di atas jalan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Dr Norma Sabtu berkata antara kriteria KBAR termasuk mewujudkan Jawatankuasa Kerja Bebas Rokok terdiri daripada sukarelawan di- kenali sebagai Kader Bebas Asap Rokok, tidak menerima sumbangan, tajaan atau pengaruh industri tembakau dan mengadakan polisi bertulis berkenaan perkara itu serta mempamerkannya di tempat mudah dilihat.

    Dr Norma yang juga Ketua Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) berkata kriteria lain termasuk memasang tanda larangan merokok dan tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bekas abu rokok, tong sampah dengan bekas abu rokok serta bilik dan sudut merokok di kawasan premis yang dijadikan Zon Larangan Merokok di dalam komuniti tersebut.

    “Antara kebaikan KBAR ialah mewujudkan udara bersih dan persekitaran sihat, bayi, kanak-kanak dan remaja dibesarkan dalam suasana lebih sihat, meningkatkan kesihatan penduduk dengan mengamalkan cara hidup sihat dan memberi pendedahan kepada perokok bahawa amalan mereka tidak diterima pihak majoriti sekali gus menggalakkan mereka berhenti merokok,” katanya.

    Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jerneh, Jaafar Atan, 59, antara perkara membanggakan dirinya selepas menyertai KBAR ialah apabila tiada kedai runcit di kampung berkenaan menjual rokok.

    Jaafar berkata arwah ayahnya merupakan satu-satunya peruncit di kampung berkenaan yang membuka perniagaan itu sekitar 90an dan selepas arwah ayahnya jatuh sakit, beliau menyambung perniagaan runcit itu dengan mengaut untung hingga RM1,500 sebulan termasuk daripada hasil jualan rokok. 

    “Namun selepas menyertai KBAR, saya yang bukan perokok perlahan-lahan mengurangkan bekalan rokok di kedai sehingga pada satu masa langsung tidak menjualnya dan penduduk terpaksa reda dengan pilihan yang saya buat,” katanya.

    Rabu lepas, Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

    Menurut rang undang-undang itu, individu berkenaan yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan. 

    Mengulas mengenai rang undang-undang itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kampung Semin, Lubok China Hashim Hamad berkata komuniti dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan GEG.

    “Justeru, masyarakat perlu mengambil cakna dengan menegur jika terlihat ada anak-anak yang belum cukup umur merokok di tempat awam dan ibu bapa juga perlu berlapang dada jika anak-anak mereka ditegur demi kebaikan bersama,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...