Komuniti Cina gembirakan kanak-kanak Rwanda

KIGALI – Bukan setiap hari kanak-kanak diberikan peluang untuk menerima hadiah mengikut pilihan mereka sendiri.

Namun, inilah yang berlaku di sekolah rendah dan menengah Tanda (GS Tanda) di wilayah utara Rwanda, apabila komuniti Cina melawat sekolah itu baru-baru ini.

Persatuan Cina Luar Negara di Rwanda melakar senyuman di wajah ratusan kanak-kanak apabila mereka menderma pelbagai hadiah kepada sekolah sempena Hari Kanak-kanak.

Kelihatan kanak-kanak kecil bergilir-gilir memberitahu apa yang mereka inginkan, di bawah pengawasan guru besar yang kelihatan santai dan teruja untuk mendengar hasrat para murid dan menggalakkan mereka dengan memberi pujian terhadap pilihan mereka.

Sumbangan yang diberikan termasuk bahan-bahan sekolah seperti alat tulis, beg sekolah, kasut, bola, pensanitasi, selimut dan bekalan makanan.

Pelajar melambaikan tangan untuk menyambut wartawan di sekolah rendah dan menengah Tanda (GS Tanda) di Rwanda. – Xinhua
Kelihatan para pelajar menghadiri kelas di GS Tanda di Rwanda. – Xinhua

Semasa murid menyatakan keinginan mereka, Stella Ishimwe, 12, berkata hasratnya adalah untuk mendapatkan sebiji bola.

“Jika saya diberikan pilihan hadiah, saya akan memilih bola,” kata murid Tahun Enam yang bercita-cita menjadi doktor perubatan.

“Kenapa dia perlukan bola?” beberapa rakan murid mempertikaikannya. “Bola sepak merupakan permainan kegemaran saya, yang sering saya mainkan bersama rakan-rakan saya di sekolah,” katanya.

Ishimwe menjelaskan bahawa ibu bapanya merupakan seorang petani dan mereka tidak mampu untuk membelikan dia hadiah.

Dengan sumbangan daripada masyarakat Cina itu, Ishimwe dapat hadiah pilihannya. “Saya mempunyai tiga adik-beradik. Ayah saya seorang petani yang menanam ubi dan pisang. Tanpa pendapatan tetap, membayar yuran sekolah kami adalah satu perjuangan,” katanya.

Walaupun latar belakangnya yang miskin, Ishimwe yakin untuk menamatkan pendidikannya.

“Saya rasa saya akan menamatkan persekolahan walaupun berdepan cabaran. Saya cuba mengimbangi semua mata pelajaran dan membuat ulang kaji nota mata pelajaran di rumah. Saya teruja untuk berada di sekolah,” katanya.

Rakan sekelas Ishimwe, Alex Ndahiro, berkata hadiah kegemarannya untuk Hari Kanak-kanak ialah bahan-bahan sekolah. Katanya, dia berasa sangat teruja apabila tibanya Hari Kanak-kanak.

Ndahiro bertuah kerana bapanya seorang pekerja perubatan dan membayar yuran sekolah tidak menjadi masalah. “Mata pelajaran kegemaran saya ialah bahasa Inggeris. Saya percaya saya akan menamatkan pengajian saya sehingga ke universiti dengan penuh keazaman,” kata Nadahiro yang impiannya adalah untuk belajar sains komputer.

Innocent Gakuba, guru besar sekolah itu, telah dipindahkan ke sekolah itu pada April lalu. Beliau berkata pihak sekolah menjadikan Hari Kanak-kanak sebagai acara yang tidak dapat dilupakan, di mana murid mencipta puisi dan lagu, menyatakan hasrat mereka daripada ibu bapa dan pihak sekolah.

Ibu bapa dijemput ke majlis tersebut dan keluarga murid yang berprestasi terbaik diberikan sijil sebagai mengiktiraf peranan mereka dalam membesarkan anak-anak mereka.

“Pada Hari Kanak-kanak kami menganjurkan pertandingan menulis dan melukis di mana pemenang diberikan hadiah, termasuk bahan-bahan sekolah seperti buku, beg, pen dan pakaian seragam sekolah,” kata Gakuba.

Gakuba berkata hadiah yang disumbangkan oleh masyarakat Cina akan membantu pelajar dalam aktiviti akademik dan kokurikulum mereka.

“Hadiah sebegini mewujudkan persahabatan antara orang Cina dan sekolah kami serta penduduk Rwanda secara amnya,” katanya. – Xinhua