KUALA LUMPUR – Reputasi buruk Sungai Bunus yang sering dikaitkan sebagai punca kepada banjir kilat di sekitar Jalan Tun Razak, Jalan Gurney dan Kampong Bharu sudah semakin terhakis. Projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak enam tahun lepas telah menebus imej sungai yang sepanjang 9.2 kilometer itu, yang mana pada masa lepas sering disalah anggap oleh orang ramai sebagai longkang.
Dikenali sebagai satu-satunya sungai di Kuala Lumpur yang bermula dan berakhir di dalam bandar, Sungai Bunus – adalah anak sungai kepada Sungai Klang – bermula di Wangsa Maju, Setapak dan berakhir bertentangan Wisma Bunus di Jalan Munsyi Abdullah, di sini. Memandangkan lokasinya di tengah-tengah Bandar, terdapat beberapa percubaan oleh JPS untuk menyuntik “kehidupan” kepada tebing sungai ini dengan membuka taman-taman rekreasi dan membina trek-trek untuk berjoging dan berbasikal di sekitar kawasan di mana kolam tadahan banjir telah dibina.
Malangnya, taman-taman dan trek-trek itu telah terbiar berikutan masalah penyelenggaraan yang buruk oleh JPS dan kekurangan dana.
Laluan untuk basikal
Kumpulan komuniti Sungai Bunus, satu komponen di bawah Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL), tampil dengan satu pelan induk untuk memperindah tebing sungai dan rizab Sungai Bunus dan menjadikannya ruang rekreasi untuk masyarakat bandar. LA21KL dimulakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 10 tahun lepas untuk dijadikan sebagai platform bagi membawa masyarakat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan bersama-sama merancang dan melaksanakan program pembangunan yang berterusan bagi menjadikan bandaraya ini tempat yang lebih baik untuk orang ramai hidup dan bekerja.
Pengasas dan Presiden sebuah NGO alam sekitar EcoKnights, Yasmin Rasyid, yang juga ahli kumpulan komuniti Sungai Bunus, berkata mereka bersungguh-sungguh menghidupkan semula sungai sebagai lanskap sungai (riverscape) yang indah untuk menambah lebih banyak kehijauan di pusat bandar dan mewujudkan ruang rekreasi yang selamat untuk orang ramai. “Kami telah mencetuskan idea ini kepada DBKL dan JPS memandangkan pada masa ini masih tidak jelas mengenai penjaga sebenar kesejahteraan sungai ini kerana terdapat pertindihan dasar dalam hal tadbir urus sungai,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata, kumpulan komuniti Sungai Bunus telah mencadangkan laluan berliku-liku untuk berbasikal dari hulu Sungai Bunus (di Wangsa Maju) turun ke sungai Klang di Kampong Bharu. “Dengan potensi jarak sejauh 18 km, laluan ini boleh berfungsi sebagai ruang rekreasi dan kawasan hijau di pusat bandar,” katanya.
Trek basikal dan joging sedia ada yang dibina oleh JPS tidak bersambung antara satu sama lain, oleh itu ia perlu disambung bagi menjadikannya laluan untuk berbasikal sepanjang 18 km suatukenyataan.
“Laluan yang dicadang perlukan perhatian DBKL kerana terdapat beberapa bahagian (trek) yang kini telah terputus sambungan dan dengan itu, tidak mesra basikal. Untuk membuat landasan yang lebih mesra-basikal atau untuk berjoging, isu-isu penyambungan ini perlu dianalisis selanjutnya. Beberapa kawasan akan memerlukan sama ada laluan bawah tanah atau jejambat basikal bagi memastikan laluan berliku-liku yang lancar keseluruhannya,” jelas Yasmin.
Wajah baru untuk Taman Sg. Bunus
Sementara itu, kumpulan komuniti Sungai Bunus, berjaya mewujudkan TamanSungai Bunus, sebuah taman rekreasi di samping kolam takungan banjir di Setapak, suatu wajah baru yang sangat diperlukan. Anggota kumpulan, Kolej Vokasional Setapak (KVS), yang terletak berhampiran taman itu, mengambil alih tanggungjawab menjaga Taman Sungai Bunus dan menganjurkan beberapa siri gotong-royong untuk membersihkannya.
Taman itu, lengkap dengan gazebo dan laluan untuk berbasikal dan berjoging, telah terabai selama beberapa tahun dan orang ramai jarang mengunjunginya kerana takut didatangi oleh orang yang tidak menentu (jahat) yang sering ke tempat itu.
Pengetua KVS Roslan Zainuddin berkata pelajar-pelajarnya mengelak daripada menghampiri taman itu kerana ada di antara mereka pernah hampir menjadi mangsa samun ketika melalui kawasan itu. “Sekarang taman di sini sudah hidup kembali,” kata Roslan gembira, sambil menambah, “Ia adalah tempat yang baik untuk orang ramai berehat kerana terdapat banyak pokok besar untuk berteduh. Malah, tiada lagi bau busuk di pusat takungan dan sungai (Sungai Bunus) yang mengalir di hadapan taman ini,”

Selain itu, untuk mencantikkan tebing sungai di kawasan itu, pelbagai pokok buah-buahan tempatan ditanam di sepanjang laluan pejalan kaki, manakala lampu jalan dipasang di sekeliling taman bagi memastikan kawasan itu sentiasa terang pada waktu malam. Sejak awal tahun ini, penyelenggaraan taman itu telah diambil alih oleh DBKL.
Pada masa ini, usaha sedang dijalankan oleh kumpulan komuniti Sungai Bunus untuk meningkatkan taman rekreasi yang terletak di Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan. Sepertimana Taman Sungai Bunus di Setapak, taman ini dan kemudahan-kemudahannya telah rosak kerana kekurangan penyelenggaraan.
Ketua Unit LA21KL di Jabatan Perancangan Bandar DBKL, Norazmin Adibah Othman berkata kesemua idea dan pelan untuk pelbagai projek di tebing Sungai Bunus sepenuhnya datang daripada kumpulan komuniti Sungai Bunus, termasuk badan bukan kerajaan, agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dengan pejabat-pejabat di kawasan berkenaan dan persatuan penduduk.
“Mereka adalah orang yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja ini kerana mereka sama ada secara langsung tinggal atau bekerja di kawasan tersebut dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya, sambil menambah bahawa dengan inisiatif itu, akan timbul rasa pemilikan dalam kalangan masyarakat setempat terhadap kawasan mereka tinggal atau bekerja.
Norazmin Adibah berkata, sekiranya kumpulan komuniti Sungai Bunus berjaya menghidupkan semula taman Kampung Boyan, projek yang sama juga akan dijalankan di lokasi lain di sepanjang Sungai Bunus. – Bernama