Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Warga India yang menetap di Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk sama-sama meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan India ke-76 pada majlis yang berlangsung di India House, Kediaman Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Sambutan hari kemerdekaan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam itu menyaksikan penyertaan daripada warga India serta rakan-rakan jemputan khas dengan dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok A Dimri.
Pada majlis berkenaan, TYT Alok Dimri telah menyempurnakan upacara menaikkan dan mengibarkan bendera kebangsaan India dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai.
Pada majlis berkenaan, Tuan Yang Terutama juga membaca beberapa petikan daripada ucapan yang disampaikan oleh Presiden India, Puan Yang Terutama Draupadi Murmu yang menyentuh mengenai perjuangan wira-wira India untuk mencapai kemerdekaan, pencapaian dan wawasan menjelang 2047.
Petikan juga menyentuh mengenai cabaran yang telah dilalui khususnya dalam menangani pandemik COVID-19 serta usaha untuk menerajui transformasi dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, ekonomi dan bidang-bidang yang berkaitan dengan urus tadbir yang baik.
Pada majlis itu, pemenang-pemenang bagi Kuiz Azadi Ka Amrit Mahotsav 2022
bertajuk Bharat Ko Janiye, iaitu pertandingan kuiz dalam talian yang diadakan pada
awal 2022, telah menerima hadiah mereka yang disampaikan oleh TYT Alok Dimri.
Kuiz itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi warga asing dan bagi warga India yang tidak menetap di mana kuiz berkenaan men-dapat sambutan penyertaan
yang amat menggalakkan.
Bagi kategori warga asing, tempat pertama dimenangi oleh Gia Kamal, manakala itu, Amal Mazlan dan Elizabeth Lapong masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu bagi kategori warga India tidak menetap, tempat pertama dimenangi oleh Athulya Murali dengan Aarush Kumar dan Aditya Kumar masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Sambutan berkenaan telah distrimkan secara langsung melalui media sosial Suruhanjaya Tinggi India di Brunei untuk memudahkan penyertaan kepada ahli-ahli komuniti India yang berada di negara ini.