Komuniti India rai Hari Republik

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Sempena Hari Republik India ke-71 yang diraikan pada 26 Januari lalu, komuniti India telah mengadakan majlis sambutan di bawah Persatuan India Belait (IAB), yang berlangsung di Dewan IAB, Seria dengan dihadiri oleh lebih 200 warga India.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar.

Menurut kenyataan yang diberikan, Hari Republik memperingati tarikh penguatkuasaan Perlembagaan India iaitu 26 Januari 1950 bagi menggantikan Akta Kerajaan India (1935) sebagai dokumen pentadbiran India.

Hari Republik diraikan sebagai cuti kebangsaan di seluruh India di samping upacara-upacara menaikkan bendera, perarakan dan acara kebudayaan. Sebagai sebahagian daripada acara itu, tambah kenyataan, video sambutan Hari Republik yang diadakan di New Delhi telah ditayangkan semasa perhimpunan di Daerah Belait diikuti dengan mesej video Presiden India, Ramnath Kovind.

TYT Ajaneesh Kumar dalam ucapannya menekankan kepentingan acara berkenaan dan memperkasa kanak-kanak menerusi pendidikan.

Beliau juga memuji usaha-usaha yang dilaksanakan oleh IAB untuk mengaktifkan perpustakaan. Selain buku-buku yang disumbangkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India sebelum ini, satu lagi set buku juga disumbangkan kepada IAB pada majlis berkenaan.

Kenyataan menjelaskan, perpustakaan yang sedia ada telah diaktifkan semula di dalam bangunan IAB hasil daripada buku-buku sumbangan Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam dan ahli-ahli IAB, yang merangkumi buku-buku fiksyen, sejarah India, buku bahasa, novel dan banyak lagi.

Perpustakaan yang diubahsuai berkenaan telah dilancarkan oleh TYT Ajaneesh Kumar dengan penyerahan sebuah buku kepada ahli kanan IAB, Molly Mathews yang merupakan seorang guru dan telah berada di Brunei selama lebih 50 tahun.

TYT Ajaneesh Kumar menyerahkan buku kepada Molly Mathews sambil disaksikan oleh ahli lain IAB.