Komuniti Jerman bantu golongan memerlukan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Duta Besar Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler dan ahli-ahli komuniti perniagaan Jerman di Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan sumbangan kepada Projek Sumbangan Pandu Lalu oleh Belia Sukarelawan COVID-19 yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan dalam majlis penyampaian yang berlangsung di ruang masuk utama VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan sumbangan disampaikan oleh PYT Gerda Winkler dan diterima oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

Antara yang disumbangkan termasuk 600 kilogram beras, 480 liter minyak masak, 180 kilogram gula, 100 kilogram minuman serbuk termasuk teh, kopi, mi, biskut, air mineral, lampin dan tisu tandas.

Di samping itu, pek makan juga didermakan dan diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan terutama mereka yang terkesan oleh pandemik berkenaan termasuk pekerja-pekerja migran.

Turut hadir semasa majlis penyampaian sumbangan berkenaan ialah wakil-wakil daripada Lufthansa Technik, Kapten Jo Krill; Medetech Sdn Bhd, Anil Kumar; Muara Maritime Services Technical, Geerd Breffka (bagi Lurssen Shipyard); National Insurance Company Berhad, Klaus Tomalla, thyssenkrupp Industrial Solutions, Kai-Henning Vathje dan Ketua Sukarelawan Belia COVID-19, Pengiran Mohamad Al-Nizar bin Pengiran Azahari.

Hajah Nor Ashikin, PYT Gerda Winkler dan wakil-wakil komuniti perniagaan Jerman serta Sukarelawan Belia COVID-19 bergambar ramai pada majlis penyampaian sumbangan di ruang masuk VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar serahan KKBS