Komuniti Malaysia tampil derma darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sebagai usaha untuk menyahut seruan Kementerian Kesihatan bagi membantu menambahkan simpanan darah yang rendah di bank-bank darah, komuniti warganegara Malaysia di Negara Brunei Darussalam tampil ke hadapan untuk menderma darah.

Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam bersama-sama menganjurkan kempen menderma darah yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, Commonwealth Drive, Bandar Seri Begawan pada 2 Oktober lalu.

Turut serta dalam kempen berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah.

Dalam ucapan ringkasnya semasa kempen berkenaan, TYT Dato’ Raja Reza menyeru seluruh warganegara Malaysia di Brunei untuk tampil ke hadapan dalam sama-sama menderma darah bagi memastikan bekalan stok darah adalah mencukupi bagi kegunaan semua hospital di negara ini.

Beliau juga menggariskan betapa pentingnya untuk membantu menyelamat nyawa dengan menderma darah di mana satu pain darah boleh menyelamatkan tiga nyawa. Di samping itu, beliau turut berkongsi manfaat menderma darah di mana para penderma darah akan merasa lebih segar dan sihat.

TYT Dato’ Raja Reza berharap inisiatif berkenaan akan menggalakkan lebih ramai warganegara Malaysia untuk menyokong seruan menderma darah oleh Kementerian Kesihatan.

Pada kempen berkenaan, seramai 74 orang tampil menderma darah yang terdiri daripada pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli PWM dan orang ramai di mana 63 orang layak untuk menderma darah.

TYT Dato’ Raja Reza sama-sama menderma darah dalam Kempen Menderma Darah yang dianjurkan bersama PWM dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan pada 2 Oktober lalu.- Gambar serahan PWM