Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kondo sekat pemandangan Gunung Fuji akan dirobohkan

    TOKYO, 12 JUN – Seorang pemaju hartanah Jepun telah memutuskan untuk merobohkan sebuah kondominium 10 tingkat yang hampir siap di Tokyo selepas menerima bantahan daripada jiran yang mengatakan ia menghalang pemandangan Gunung Fuji.

    Syarikat Sekisui House berkata dalam satu kenyataan lewat kelmarin mereka telah ‘secara sukarela memutuskan untuk menghentikan projek itu’.

    “Tidak dinafikan bahawa keadaan semasa memberikan impak yang besar terhadap landskap. Kami telah memutuskan untuk mengutamakan pemandangan dari jalan raya,” katanya.

    Pangsapuri yang dibina baru-baru ini terletak di kawasan barat Tokyo yang terkenal dengan pemandangan indah gunung tertinggi Jepun, yang kelihatan menjulang naik ke langit dari hujung jalan bernama Fujimi atau jalan Pemandangan Fuji.

    Gunung Fuji dilihat melalui lubang pada skrin hitam yang dipasang di seberang kedai serbaneka di bandar Fujikawaguchiko, wilayah Yamanashi, tengah Jepun pada 24 Mei. – AP

    Namun blok baharu yang tinggi itu menjejas pemandangan ini kerana ia menghalang separuh daripada gunung berapi aktif yang hebat dan agung itu.

    Pembinaan diteruskan walaupun dibantah oleh penduduk yang bangga dengan pemandangan jalan itu, dan penyewa sepatutnya berpindah ke kondo di daerah Kunitachi Tokyo bulan depan.

    Kemudian dalam satu langkah yang mengejutkan, pemaju Sekisui House baru-baru ini mengeluarkan notis mengatakan kompleks itu akan dirobohkan.

    Tiada apa-apa yang menyalahi undang-undang mengenai proses pembinaan itu, kata Sekisui House kelmarin, tetapi ‘pertimbangan kami terhadap pemandangan Gunung Fuji dari jarak jauh tidak mencukupi’.

    Bagi sesetengah penduduk, keputusan itu adalah berita yang dialu-alukan.– AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda