Konflik Israel-Palestin ancam keselamatan serantau

AMMAN, 14 Jan – Menteri Hal Ehwal Luar Jordan, Ayman Safadi semalam berkata, Paris dan Amman bersetuju bahawa kurangnya penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel bakal mengancam keselamatan Timur Tengah, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar Jordan.

Pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Yves Le Drian di Amman, Safadi berkata kedua-dua negara itu percaya masalah yang berlarutan di Palestin boleh mengakibatkan krisis tercetus di rantau berkenaan.

“Kami akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan persekitaran politik yang diperlukan bagi menggerakkan usaha mencari penyelesaian ke arah pembentukan dua negara (menamatkan konflik Palestinin-Israel),” kata Safadi.

Diplomat kanan Jordan itu berkata, Jordan amat menghargai sokongan Perancis terhadap penyelesaian konflik menerusi pembentukan dua negara sambil menambah, Perancis memainkan peranan penting dalam mendokong perjuangan rakyat Palestin.

Rundingan dua hala berkenaan turut membincangkan krisis di Syria serta keperluan menyelaras usaha mencari penyelesian politik di negara terbabit.

“Keutamaan kami adalah untuk menamatkan krisis,” kata Safadi sambil menambah Jordan akan menyelaras usaha dengan Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat bagi mencari penyelesaian politik secepat mungkin.

Pada hari sama, Raja Jordan,Raja Abdullah II turut berunding dengan pegawai Perancis bagi membincangkan aspek hubungan kedua-dua negara serta perkembangan keadaan semasa serantau. – Bernama

Ayman Safadi (kanan) ketika bertemu dengan Jean-Yves Le Drian di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Jordan di Amman pada 13 Januari 2019. – AFP