Konflik kekeluargaan dalam Villa Ghazara

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

KONFLIK kekeluargaan jelas merupakan tumpuan utama dalam drama bersiri, Villa Ghazara arahan Feroz Kader terbitan produksi Excellent Pictures Sdn Bhd.

Drama yang memiliki 40 episod itu dibintangi oleh Shukri Yahaya, Azira Shafinaz, Mustapha Kamal, Haleeda Mazlin, Elly Mazlein, Aidil Aziz, Tunku Hanis, Syed Aiman, Hafeez Mikail, Amirul Faqeem, Rafasya, Riena Diana, Cik Maggis, Qaralyana, Meor Mohd Afif, Zaryn Min, Sophia Liana, Hamizul Hafeez, Zuraini Kassim, Qazem Nor, Meor Mohd Afif, Zaidi Mat Zin, Nor Balqis, Hafiz Bahari, Yan Ibrahim, Elya Miera dan Manan Howliau.

Villa Ghazara adalah teratak yang diberi nama hasil gabungan nama pemiliknya iaitu, Dr. Ghazaly Baqri (Ghaz) lakonan Mustapha Kamal, seorang doktor kosmetik yang juga ahli lembaga pengarah sebuah hospital swasta terkenal bersama isterinya iaitu Zaharah (Zara) lakonan Haleeda.

Siapa sangka Villa Ghazara yang kelihatan indah di luarannya itu tidak melambangkan apa yang dialami oleh para penghuninya.

Kejayaan Dr. Ghaz sebagai seorang doktor kosmetik yang tersohor dan ahli perniagaan berjaya membuatkan dia sering mengongkong dalam menentukan arah tuju lima puteranya iaitu Zarul lakonan Syed Aiman, Adrian lakonan Aidil Aziz, Hariz lakonan Shukri Yahaya, Dazrin lakonan Hafeez Mikail dan Azrel lakonan Amirul Faqeem.

Antara pelakon yang membintangi drama Villa Ghazara adalah Shukri Yahaya dan Azira Shafinaz.

Walaupun kelihatan hebat dengan keluarga sempurna di mata ramai, selama lima tahun lamanya, Dr. Ghaz menyimpan rahsia bahawa sebenarnya dia mempunyai seorang isteri lain bernama Maria lakonan Elly Mazlein.

Kerana sikapnya yang mahukan kesempurnaan, dia mengatur kehidupan anak-anaknya tanpa memikirkan kemahuan atau minat tersendiri anak-anaknya.

Tidak mahu hidupnya terus diatur, Hariz bertindak untuk meninggalkan Villa Ghazara.

Apabila Hariz mengingkari arahannya, Dr. Ghaz terus menidakkan hak Hariz sebagai zuriatnya.

Membawa diri selama 15 tahun, Hariz akhirnya pulang juga ke Villa Ghazara namun kepulangannya tetap tidak mengubah pandangan Dr. Ghaz terhadapnya.

Bagi Dr. Ghaz, Hariz pulang tanpa sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan berbanding anak-anaknya yang lain

Seperti mana dia pernah merancang kehidupan anak-anaknya dulu, Dr Ghaz kini mula menyusun perancangan untuk cucu tunggalnya iaitu Alia yang kini tinggal bersama mereka setelah anaknya, Adrian yang juga seorang juruterbang, diberhentikan kerja.

Sejak dibuang kerja, Adrian dan isterinya, Sofea lakonan Tunku Hanis sering bertengkar dan mengabaikan Alia.

Dr. Ghaz kemudiannya mengupah Ariana lakonan Azira Shafinaz graduan bidang perguruan yang terdesak mencari pekerjaan untuk menjadi guru tuisyen dan mengajar Alia di rumah.

Rupa-rupanya, Ariana dan Hariz saling mengenali. Hariz membenci Ariana kerana Ariana pernah menyebabkan Hariz terlepas penerbangannya ke London suatu ketika dahulu. Kerana itu juga, sepanjang Arianna berada di Villa Ghazara, mereka sering berselisih faham.

Apakah kesudahan konflik keluarga dalam Villa Ghazara ini, adakah Dr. Ghaz akhirnya akan menerima dan berbangga dengan Hariz?

Di samping itu rasa benci di antara Ariana dan Hariz juga akan membibitkan rasa cinta?

Untuk mengetahui konflik kekeluargaan yang dihadapi dalam drama ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Villa Ghazara yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di Slot Akasia saluran TV3.