Konflik Ukraine jejas industri telur ayam di Sweden

STOCKHOLM – Bagi Johan Wellander, pengeluar telur Sweden, kos melambung tinggi untuk memberi makan kepada ayam ternakannya telah menimbulkan keadaan tidak mampan, berikutan inflasi yang dipercepatkan oleh krisis Ukraine yang berterusan serta sekatan barat terhadap Rusia.

Konflik Rusia-Ukraine telah melanda pasaran komoditi dan memberikan kesan di seluruh dunia. Industri telur Sweden adalah yang terbaharu menanggung akibatnya, kerana ia sangat bergantung kepada bijirin untuk memberi makan kepada ternakan dan ini berlaku di sebalik kos bahan api yang semakin tinggi.

Berdiri di antara silo makanan dan bangunan ladang yang menempatkan lebih 90,000 ayam petelur, Wellander memberikan gambaran yang mengerikan kepada Xinhua, penternak telur di Sweden sedang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup, kerana mereka terperangkap di antara kos kenaikan pengeluaran telur dan harga runcit yang dihadkan.

“Keadaan ini amat terdesak dan genting dan melainkan harga telur meningkat, kami perlu menghentikan perniagaan kami secara berperingkat,” kata Wellander di ladang ayam yang diusahakannya bersama abangnya di luar bandar Orebro.

Kebimbangannya turut dirasai Leif Denneberg, yang merupakan pengerusi lembaga di Svenska Agg, persatuan perdagangan industri telur Sweden. Harga makanan telah meningkat dua kali ganda sejak kebelakangan ini, dan hakikat bahawa harga telur di kedai tidak bergerak pada kadar yang sama akan memusnahkan industri telur negara, kata Denneberg kepada akhbar tempatan Aftonbladet.

Gambar bertarikh 13 April 2022 menunjukkan telur di atas rak di sebuah pasar raya di Stockholm, Sweden. – Xinhua

Jika telur berharga 2.5 Swedish crown (AS$0.25) secara purata, 0.80 crown daripadanya adalah kos untuk petani. Tetapi hari ini, semua 0.80 crown ini digunakan untuk membeli makanan, jelas Denneberg.

Bagi Wellander, mimpi ngeri itu tidak berakhir di sini, kerana pengeluaran telur adalah perniagaan dengan masa yang lama. “Kami akan menghantar ayam baharu dalam beberapa minggu dengan kos kira-kira 1 juta crown, tetapi memandangkan keadaan semasa dengan kos makanan, bahan api dan elektrik yang semakin meningkat, perkara yang paling menjimatkan untuk dilakukan adalah membayar invois tanpa mene-rima ayam-ayam berkenaan,” katanya.

“Kemudian kami ‘hanya’ akan kehilangan 1 juta crown dan bukannya 2 juta jika kami meletakkan ayam itu dalam pengeluaran.”

Bertepatan dengan rundingan penetapan harga di kalangan pemegang berkepentingan utama, beberapa pengeluar telur utama telah mengumumkan hasrat mereka untuk menaikkan harga mereka ‘secara mendadak’.

Tetapi kenaikan harga telur seumpama itu, makanan asasi yang penting, sudah pasti akan membebankan pengguna, yang sudah bergelut dengan inflasi dalam semua aspek kehidupan mereka. Lebih memburukkan keadaan, peningkatan kos makanan ditambah pula di Sweden dengan lonjakan harga plastik, yang digunakan secara meluas untuk membungkus makanan.

Peningkatan itu boleh dikaitkan dengan kenaikan kos tenaga dan minyak, dan bahan tambahan tertentu yang digunakan dalam pengeluaran plastik yang diperoleh dari Rusia, dari mana import telah dihentikan.

Andreas Malmberg, ketua pegawai eksekutif pengeluar plastik Trioworld, memberitahu Swedish Television bahawa pengguna perlu membayar lebih untuk segala barangan yang mereka beli.

Ramai penduduk Sweden berkongsi pandangan Malmberg bahawa inflasi akan naik berterusan.

“Membeli-belah untuk barangan runcit menjadi semakin mahal, terutamanya jika awda mempunyai tiga anak termasuk dua remaja untuk diberi makan,” kata Fredrik Sandberg. – Xinhua