Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Konglomerat Malaysia intai projek mega di Indonesia

    JAKARTA, 19 JUN – Beberapa syarikat konglomerat Malaysia sedang dalam proses perbincangan bagi mendapatkan projek-projek pembangunan mega di Indonesia dengan nilai keseluruhan dianggarkan antara RM5 bilion dan RM7 bilion.

    Menurut Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jakarta, Har Man Ahmad, projek itu termasuk pembangunan kawasan Rebana Metropolitan di Jawa Barat dan pembinaan lebuh raya Solo-Yogyakarta yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuh raya Trans-Jawa.

    “Projek-projek pembangunan berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu sekitar tempoh 5-10 tahun,” katanya.

    Beliau ditemui pada majlis perasmian Pavilion Malaysia oleh Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq, di acara pameran Megabuild Indonesia 2022 di sini, kelmarin.

    Pada masa sama, Har Man turut menggesa agar komuniti perniagaan Malaysia terus meneroka peluang di Indonesia yang disifatkan beliau sebagai sempadan baharu bagi pemba-ngunan masa hadapan syarikat masing-masing.

    Dalam pada itu juga, sejumlah 15 syarikat perkhidmatan pembinaan dan bahan bangunan Malaysia telah menyertai pameran Megabuild Indonesia 2022 itu untuk kali pertama, termasuk syarikat perkhidmatan perundingan kejuruteraan, SD Associates Sdn Bhd.

    Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara SD Associate dan Forum Komunikasi Masyarakat Kawasan Kikim.

    Di bawah perjanjian itu, SD Associate dilantik sebagai pengurus projek perancangan bandar seluas 1,400 kilometer persegi di kawasan yang bakal menjadi autonomi baharu iaitu Daerah Kikim, di Sumatera. – Bernama

    Mohd Shaffieq (kiri) dan Har Man Ahmad memotong riben sebagai simbolik perasmian Pavilion Malaysia di pameran Megabuild Indonesia 2022, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...