Kongres kecerdasan dunia bermula di China

TIANJIN, 16 Mei – Kongres Kecerdasan Dunia ketiga (WIC 2019) telah bermula hari ini di bandar Tianjin, China, lapor agensi berita Sputnik.

Topik WIC 2019 ialah ‘Intelligence New Era: Progress, Planning and Opportunity.’ Kongres itu akan berlangsung sehingga Ahad. Para pegawai dan wakil syarikat terkemuka dalam bidang teknologi kecerdasan buatan serta pakar dari seluruh dunia dijangka membincangkan isu perkembangan kecerdasan buatan, aplikasinya yang praktikal dan cara teknologi maju ini boleh merubah kehidupan manusia menjadi lebih baik.

Satu pameran teknologi kecerdasan buatan dunia dengan inovasi terkini dalam bidang itu akan turut diadakan dalam kerangka WIC 2019. Selain itu, persidangan tersebut akan menganjurkan satu pertandingan kenderaan tanpa pemandu, pertandingan robot bawah air dan RoboCup Asia Pasifik.- Bernama