Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu Sempena Bulan Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei telah diteruskan lagi hari ini dengan tajuk ‘Kebudayaan Meretas Jalan: Cerita Klasik Melayu dalam Cerita Gambar’ yang dihadiri oleh 156 orang peserta secara maya.
Antara yang hadir ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.
Siri pembentangan kali ke-8 ini menampilkan pemakalah dari Indonesia iaitu Pensyarah Institut Kesenian Jakarta, Dr Seno Gumira Ajidarma dengan Pegawai Bahasa di DBP, Dayang Rosmuliati binti Yahya sebagai pengerusi kongres.
Antara yang dihuraikan dalam pembentangan kali ini ialah peralihan wahana cerita klasik Melayu yang sebelumnya disampaikan dalam bentuk pertuturan kini kepada cerita berbentuk gambar seiring dengan perkembangan zaman teknologi seperti media, televisyen dan Internet.
Melalui media baharu ini juga cerita-cerita klasik Melayu ini terus diperjuangkan agar sistem nilai tradisionalnya tetap kukuh di samping untuk menarik minat generasi masa kini walaupun media hiburan kini dibanjiri dengan cerita dan filem-filem baharu dari luar negara.
KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu. Kongres antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam usaha untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.
Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.