Tuesday, November 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi amalan terbaik, pendekatan inovatif

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Bagi membincangkan dasar dan amalan pendidikan awal kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam serta mengenal pasti cabaran dan peluang yang ada dalam pelaksanaannya, acara webinar berjudul Sharing Practices and Experiences in Early Childhood Care and Education in Brunei Darussalam telah diadakan di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, hari ini.

    Webinar yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak, Ja-batan Sekolah-sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan webinar berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin yang turut menyampaikan ucapan perasmian.

    Webinar dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang, selaku pengerusi bersama webinar yang antaranya menjelaskan webinar berkenaan bagi mewujudkan peluang yang baik untuk berhubung, bertukar-tukar pengetahuan, pandangan, dasar dan amalan terbaik secara menyeluruh penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta membincangkan isu-isu yang berkaitan.

    Beliau antaranya juga menambah adapun matlamat utama perhimpunan webinar itu bukan hanya untuk berkongsi maklumat tetapi bagi memupuk persekitaran yang mesra dan inklusif di mana semua orang berasa dihormati dan didengari.

    Hajah Marina Chek ketika menyampaikan ucapan alu-aluan semasa webinar tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara yang hadir secara fizikal pada acara webinar tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Di samping itu, ujar Hajah Marina Chek, para peserta digalakkan untuk mengambil bahagian secara aktif dengan mengajukan persoalan dan pandangan serta meneroka tema-tema utama program iaitu Kaedah-kaedah Pengajaran dan Kurikulum Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE); Penglibatan Keluarga dan Komuniti; Dasar-dasar Kepelbagaian dan Social Inclusion dalam ECCE; dan Analisis Perbandingan Dasar-dasar ECCE Antarabangsa.

    Webinar berkenaan telah dijalankan secara hibrid di mana ia turut dihadiri secara fizikal oleh peserta-peserta terpilih yang terdiri daripada pakar dan pihak tempatan yang berkepentingan dalam pendidikan awal kanak-kanak, sementara peserta dari 11 buah negara ASEAN yang lain mengikutinya secara maya.

    Antara yang turut serta adalah wakil-wakil dari Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Keibubapaan (SEAMEO CECCEP); Pertubuhan Menteri Pendidikan Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Keperluan Pendidikan Khas (SEAMEO SEN); Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF); Rangkaian Serantau Asia-Pasifik untuk Pendidikan Awal Kanak-kanak (ARNEC) serta pegawai-pegawai kerajaan yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak termasuk golongan pemimpin sekolah dari sekolah rendah kerajaan dan swasta serta pengasas-pengasas pusat penjagaan anak damit.

    Sehubungan itu, pada sesi pagi, webinar telah dimulakan dengan empat pembentangan yang disampaikan oleh penceramah-penceramah utama iaitu Penolong Profesor di Universiti Brunei Darussalam, Dr Nordiana binti Haji Zakir; Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Wanita, dan Kanak-kanak, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak; Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan; dan Ketua Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Norol Ehsan binti Haji Abdul Hamid.

    Manakala sesi petang diteruskan dengan sesi selari yang disampaikan oleh pembentang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Jabatan Perkembangan Kurikulum dan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan serta dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Sesi petang itu telah dihadiri oleh guru-guru prasekolah dan guru-guru Special Educational Needs (SEN) yang mengajar prasekolah di sekolah-sekolah kerajaan serta guru-guru yang mengajar di tadika swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda