Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Kongsi cerita sahabat sepanjang hayat

    Pada usia 84 dan 83, W George dan G Thanda masih cergas dan cerdas seperti biasa, bersembang dan bergurau sambil menikmati sarapan pagi di sebuah restoran India tempatan di Petaling Jaya, Selangor.

    Kedua-duanya merupakan bekas rakan sekerja di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Pasir Mas, Kelantan pada awal tahun 1960an, dan mereka telah berjaya menjalin persahabatan yang erat selama lebih daripada 60 tahun sekarang.

    “Saya ingat ketika pertama kali masuk ke sekolah, George yang menyambut saya,” kata Thanda, semasa bercakap mengenai kerjaya pertamanya sebagai guru pada usia 23 tahun, selepas mendapat kelulusan dari Maktab Perguruan Malaya di Pulau Pinang.

    “Saya tidak tahu beliau adalah naib pengetua yang perlu saya laporkan diri kepadanya ketika itu!”

    Thanda berkata: “George sangat popular. Walaupun beliau merupakan naib pengetua, beliau tidak pernah menggunakan kuasanya. Namun, dia memaksa saya untuk bermain beberapa permainan yang dia suka! Sebagai contoh, beliau mahu saya bermain hoki walaupun saya tidak tahu. Dia berkata, ‘Tak apa, berdiri sahaja di tiang gol’!

    George dan Thanda pada pertemuan semula dengan bekas pelajar. – W George/The Star

    George dan Thanda telah berjaya mengekalkan persahabatan yang teguh selama lebih 60 tahun sekarang. – Faihan Ghani/The Star

    “Itu merupakan salah satu perkara yang mengeratkan hubungan kami,” sampuk George.

    “Permainan seperti kriket, hoki, ragbi, bola tampar. Semua guru berkumpul untuk bermain setiap petang – Melayu, Cina, India, malah guru dari Pasukan Khidmat Bakti dan Sukarelawan Perkhidmatan Luar Negara (VSO). Bagi kebanyakan kami, Pasir Mas merupakan tugasan pertama kami, kali pertama kami jauh dari rumah, jadi kami menjadi kawan yang sangat akrab.”

    Thanda menambah hubungan mereka kemudian melangkaui hanya sebagai rakan dalam tahun-tahun berikutnya. “Ia lebih seperti keluarga. Kami tinggal berdekatan di kuarters dan asrama guru. Kami membina ikatan persahabatan dan perasaan kami menjadi sangat kuat.”

    Thanda menambah George dan dia berkongsi minat dalam bersosial. “George yang mengaturkan pertemuan, hingga hari ini. Pada ketika itu, beliau adalah satu-satunya yang memiliki kereta! Setiap kali dia memanggil, kami semua akan bersedia untuk pergi!

    “Ia adalah sebuah Volkswagen putih – BK3225. Saya masih ingat nombornya,” kata George.

    Dua sahabat itu mengenang kembali bagaimana setiap hujung minggu mereka harus menaiki feri melintasi Sungai Kelantan dan pergi ke Kota Bharu untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan dan guru yang lain, dan betapa masa itu adalah begitu menyeronokkan. “Pernah sekali kita terlepas feri balik ke sekolah dan terpaksa tidur semalaman di dalam kereta!” mereka tertawa.

    Mereka juga membina persahabatan rapat bersama pegawai-pegawai di jabatan kerajaan lain seperti polis, penjawat awam dan hospital di Pasir Mas dan Kota Bharu. Ramai pelajar mereka dari tahun 1960an masih kekal berhubung rapat dan sering menganjurkan pertemuan untuk semua orang.

    “Bekas pelajar kami telah berjaya dan kini menjadi profesor, jurutera, doktor dan ahli perniagaan. Mereka sangat menghormati kami, selalu berkata kejayaan hidup mereka disebabkan oleh kami, guru mereka ketika di SISS, Pasir Mas,” kata George penuh bangga.

    “Beberapa pelajar kami, Mahadi Hassan dan Tan Bin Sin, bermain tenis, jadi apabila mereka panggil George untuk bermain, George akan meminta saya untuk ikut bersama, dan kemudian kami semua bermain bersama,” kata Thanda. Ya, datuk berusia 80an ini masih bermain tenis hingga hari ini!

    Keluarga George dan Thanda juga telah menjadi kawan selama bertahun-tahun dan mereka sering melawat satu sama lain walaupun tinggal berjauhan. Mereka berkongsi sesetengah rakan mereka telah meninggal dunia, dan sesetengah lagi mengalami penyakit yang menyukarkan mereka untuk keluar. “Tetapi itulah yang menarik tentang persahabatan kami, apabila salah seorang daripada kami tidak sihat, yang lain akan pergi melawat dan memberikan semangat,” kata George.

    Walaupun banyak perkara telah berubah sepanjang tahun – pekerjaan, keluarga, kesihatan, alam sekitar, dan kerajaan – Thanda mengatakan satu perkara yang kekal sama: “Cara kami bergaul dengan satu sama lain, perasaan kami, dan cara kami bersembang sama seperti pada hari pertama.”

    Mereka menggelar diri mereka sebagai ‘sahabat sepanjang hayat’ dan berusaha untuk menjaga persahabatan tersebut dengan bertemu setiap bulan tanpa gagal. George menambah dengan WhatsApp, menjaga hubungan menjadi lebih mudah. “Thanda menghantar saya pesanan ‘Selamat pagi’ setiap hari,” katanya, dan Thanda menjawab, “Tidak hanya kamu, saya menghantar pesanan itu kepada 70 orang yang lain juga.”

    Rakan koir Law dan Pan

    Sementara itu, rakan koir iaitu Victoria Law menyoal kawan lamanya, Pan Swee Chin, ‘Eh, kita berdua pernah belajar di Sekolah Rendah Assunta tetapi kita tidak pernah tahu tentang itu. Awda berada di Sekolah 1 atau Sekolah 2?’

    Kedua-dua wanita ini dilahirkan dan dibesarkan di Petaling Jaya dan walaupun bersekolah di sekolah sama, hanya tahun 1985 mereka menjadi kawan rapat.

    “Kita bertemu dalam produksi teater. Adakah ia Guys and Dolls? Hello Jerry?” Law menyebut senarai musikal yang pernah mereka lakonkan. “Saya ingat saya telah mengambil uji bakat untuk Rhapsody in Rhythm pada tahun 1984 tetapi saya r tidak mengenali awda sehingga tahun berikutnya, betul tak? Saya hanya berusia 19 tahun ketika itu!”

    Kedua-dua Law dan Pan merupakan penyanyi dan penari yang bersemangat, dan sehingga hari ini, mereka masih menjadi ahli Persatuan Filharmonik Selangor (The Phil), kumpulan yang pertama membawa mereka bersama-sama.

    Suami Law, Jeffrey Ong, merupakan kawan karib, begitu juga ahli koir lain seperti Mervyn Peters, Wong Wing Thim, Edna Tan dan Tunku Sara Ahmad. “Satu perkara yang hebat tentang The Phil – kami berbilang kaum dan datang dari pelbagai latar belakang hidup, tetapi mudah untuk berkenalan dan menjalin persahabatan. Semua orang sangat merendah diri dan tidak bersikap sombong. Banyak hubungan yang erat terbentuk di The Phil,” kata Pan.

    “Saya tidak terlalu ingat mengapa atau bagaimana kami menjadi rapat. Kami selalu berjumpa semasa latihan dan sering kali terlibat dalam produksi atau persembahan peribadi. Saya rasa kami bergaul dalam kumpulan sama dan akhirnya kami menjadi kawan rapat seiring berjalannya waktu,” kata Pan.

    “Kami berdua gemar menyanyi dan menari dan boleh bercakap tentang apa saja. Tidak ada halangan dalam percakapan kami. Kami boleh jujur tentang segala-galanya dan tidak perlu berpura-pura.”

    Apabila persahabatan mereka menghampiri ulang tahun ke-40, Pan merasakan perbualan mereka menjadi lebih mendalam. “Kami sering berbual mengenai hubungan, dan saya menyedari kami berdua hampir sama dalam pendekatan hidup – kami berusaha mencari yang positif, walaupun menghadapi banyak cabaran,” katanya.

    Sebagai contoh, apabila Law berusia 25 tahun, beliau didiagnosis dengan artritis rheumatoid, satu keadaan yang mencabar yang masih dihadapinya hingga hari ini.

    “Walaupun saya tidak dapat beraksi lagi, saya masih terlibat dalam koir – saya telah menjadi setiausaha selama dua tahun berturut-turut. Dan sementara saya masih mampu, sehingga tahun 2018, saya akan beraksi sambil duduk! Ia luar biasa dapat beraksi bersama rakan-rakan seperti Swee Chin, yang menjadi sebahagian daripada hidup saya begitu lama.”

    Pan dan Law mengatakan tidak ada peraturan khusus dalam persahabatan mereka. Mereka hanya berjumpa dari semasa ke semasa untuk berbual-bual dan makan-makan. Law berkata dengan media sosial hari ini, lebih mudah untuk mengetahui kehidupan masing-masing. “Itulah bagaimana keadaannya pada hari ini, bukan?” Law berkata, semasa COVID-19, beliau memastikan untuk menghantar makanan kepada beberapa rakan-rakannya, dan, tentu saja, Pan dalam senarai itu.

    Pan mengangguk: “Itulah dia. Dia menghantar nasi kerabu kepada saya agar saya tidak merasa kesepian di rumah pada hari jadi saya.”

    Kedua-dua wanita tersebut mengatakan mereka tidak pernah bergaduh selama ini. “Dia adalah dai ga jie (kakak angkat saya). Dia akan memarahi saya dari semasa ke semasa, terutamanya apabila saya terlalu bekerja keras,” kata Law, sementara Pan membalas bagaimana Law tidak tahu bila dia harus berhenti dan berehat, dan kedua-duanya akhirnya tertawa bersama-sama.

    Sekarang mereka semakin matang – Law hampir mencapai usia 60 manakala Pan sudah memasuki usia 60an. Mereka bersyukur atas persahabatan yang membuat mereka sentiasa segar dan sering tergelak seperti gadis sekolah. “Ini merupakan satu anugerah yang besar untuk mempunyai kawan seperti dia,” kata Law, dan Pan mengangguk sambil tersenyum. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...