Kongsi ekopelancongan dari Jepun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Seramai 31 orang peserta telah menyertai sesi webinar bertajuk ‘Ekopelancongan di Jepun’ yang dikendalikan bersama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Jepun dan Pusat ASEAN-Jepun yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, peserta-peserta webinar berkenaan adalah daripada agensi-agensi kerajaan iaitu Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan dan jabatan-jabatan daerah, institusi-institusi pendidikan iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan pusat-pusat tingkatan enam, agensi-agensi pelancongan serta penyedia perkhidmatan pelancongan.

Kenyataan menyatakan bahawa webinar itu mengetengahkan penceramah undangan iaitu Pengerusi Pengasas Rangkaian Ekopelancongan Asia (AEN) dari Eco Tourism Network dan Pengarah Ekopelancongan Jepun, Masaru Takayama.

Sesi webinar itu merupakan platform bagi agensi-agensi yang menyertai untuk lebih memahami dan menambahkan ilmu pengetahuan ekopelancongan dari Jepun iaitu sebuah negara yang amat dikenali sebagai menghargai alam semula jadi dan persekitaran mereka.

Dengan perjalanan terhad disebabkan oleh COVID-19, webinar itu merupakan peluang yang baik bagi Negara Brunei Darussalam untuk mempelajari daripada amalan-amalan terbaik Jepun serta untuk mempersiapkan pihak-pihak berkepentingan pelancongan supaya dapat memberikan layanan terbaik kepada pelancongan Jepun apabila perjalanan bermula semua dengan memperbaiki lagi kemudahan dan perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan.

Sebahagian peserta yang mengikuti sesi webinar bertajuk Ekopelancongan di Jepun yang diadakan secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan