Kongsi gelap ditahan seludup barang guna bot laju

HONG KONG, 11 OKT – Puluhan anggota kongsi gelap Hong Kong telah diberkas dalam siri serbuan yang menyasarkan geng menggunakan bot laju untuk menyeludup barang tegahan ke tanah besar China, kata polis hari ini.

Kegiatan penyeludupan membabitkan kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di kedua-dua sempadan sudah berlarutan sejak sekian lama, namun ia dilihat semakin meruncing ketika pandemik koronavirus.

Polis kemudian melaksanakan operasi bagi membanteras kegiatan terbabit, selepas seorang pegawai marin wanita terbunuh bulan lalu apabila bot dinaikinya dirempuh oleh penyeludup semasa insiden kejar mengejar.

Polis Hong Kong, hari ini berkata 365 individu telah ditahan dalam beberapa serbuan bersiri dua bulan lalu, termasuk 35 lelaki yang mempunyai latar belakang anggota kongsi gelap dan disyaki terbabit dalam operasi penyeludupan di laut.

Polis tanah besar China turut menangkap dua lelaki yang disyaki terbabit dalam pelanggaran yang menyebabkan kematian pegawai marin itu, kata superintenden kanan Ho Chun-tung dari Biro Kongsi Gelap dan Jenayah Terancang Hong Kong kepada wartawan.

Lebih 50 bot laju juga dirampas, bersama 1,700 tan daging sejuk beku bernilai HK$500 juta (AS$64 juta).

Daging sejuk beku ialah antara barangan yang menjadi permintaan ramai dan kerap diseludup ke China.

Rampasan kegiatan penyeludupan menggunakan bot laju sejak kebelakangan ini antara lain merangkumi produk seperti jam mewah, beg tangan dan kasut, selain anggota badan haiwan terancam, kosmetik, arak, wiski dan cerut.

Polis berkata setakat tahun ini mereka telah merampas HK$730 juta nilai barang tegahan daripada geng penyeludupan bot laju berbanding dengan HK$490 juta tahun lalu. – AFP