Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani & Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Dengan membawa tema Looking Ahead, A Nation United, Brunei Press selaku penerbit Borneo Bulletin Yearbook 2021 (BBYB 2021) telah mengadakan sesi Jaringan Perniagaan BBYB 2021 bagi membolehkan para peneraju industri tempatan dan antarabangsa berjumpa, berkongsi idea dan mencetuskan sinergi perniagaan yang berpotensi, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Muzium Teknologi Melayu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku tetamu kehormat majlis.
Hadir semasa acara berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah. Turut hadir ialah pengarah-pengarah Kumpulan QAF, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Naafi’ah Khairul Bulqiah.
Acara minum petang tersebut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin industri daripada komuniti perniagaan, kakitangan pengurusan dan orang ramai daripada sektor swasta serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di samping perwakilan-perwakilan negara ASEAN + 6.
Tahun 2020 akan dikenang sebagai tahun yang mencabar dengan impak pandemik COVID-19 yang dapat dirasakan di seluruh dunia tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam. Namun, ia juga tahun yang akan mengingatkan di mana seluruh negara bersatu berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan virus.
BBYB 2021 mengetengahkan pandangan terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengurangkan impak pandemik.
Ia meliputi tiga bidang fokus yang meluas iaitu menjaga kesejahteraan orang ramai, melindungi pekerjaan dan memberi sokongan kepada individu dan menyokong serta membantu perniagaan-perniagaan.
Tahun 2021 juga merupakan tahun yang penting bagi Negara Brunei Darussalam disebabkan kepengerusian ASEAN, memberikan peluang untuk mengeratkan lagi kerjasama dan perpaduan di sekitar rantau yang mana ia juga adalah antara yang dikaitkan di sepanjang BBYB 2021 ini.
Acara telah dimulakan ucapan alu-aluan oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman yang menyentuh mengenai penjenamaan semula BBYB lima tahun lalu, yang lebih memfokuskan pada peluang perniagaan dan pelaburan di mana Sesi Jaringan BBYB bermula pada 2017.
“Tahun ini, pameran mini kami terus berkembang dengan adanya booth interaktif, yang menyediakan lebih banyak cara untuk perkongsian maklumat di antara para peserta,” katanya.
Beliau menambah sesi jaringan itu merupakan jalan terbaik bagi mengetengahkan kekayaan warisan budaya negara yang dipamerkan di muzium.
“BBYB dengan edaran lebih 50,000 telah menjadi panduan perniagaan dicari di Brunei. Tahun ini, laman web BBYB mencatatkan 2.2 juta paparan halaman dan enam juta klik,” ujar beliau lagi.
Menurutnya, BYB 2022 akan mengetengahkan tema Dynamic & Sustainable – An Economy of Opportunity yang memberikan pandangan mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh Brunei untuk menyokong pertumbuhan industri dalam pelbagai sektor, terutama berikutan cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya.
“Sorotan utama untuk edisi tahun depan akan menjadi bahagian khas mengenai wanita terkemuka yang berjaya di Brunei – ramai yang kita lihat di sini hari ini,” kata Hazizah.
Pada sesi jaringan tersebut, para tetamu turut dihiburkan dengan iringan muzik tradisional gulingtangan dan makanan yang mewakili 10 negara ASEAN.