Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kongsi ilmu dalam pemprosesan makanan laut

    Oleh Mu’min Karim

    Sekecil-kecil mahupun sebesar-sebesar ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran adalah wajar untuk dikongsi bersama dengan orang sekeliling, dalam sama-sama memajukan diri, bangsa dan negara.

    Apa yang penting adalah kemahuan kita sendiri untuk mengubah nasib dan memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik, bak kata peribahasa ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

    Berbekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang ada, telah meyakinkan Awang Mohammad Husaini bin Ali Hassan untuk menggalas jawatan tenaga pengajar dalam satu kursus pemprosesan makanan laut yang diadakan di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung, perumahan Kampung Sungai Bunga, baru-baru ini.

    “Adapun hasrat saya untuk menjadi tenaga pengajar kursus adalah semata-mata untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang diperoleh kepada masyarakat di negara ini dalam sama-sama membantu menjana pendapatan,” jelasnya selaku Setiausaha Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga ketika berkesempatan ditemu bual oleh Media Permata.

    Beliau mengongsikan bahawa beliau pernah dihantar oleh pihak kerajaan untuk mengikuti kursus selama empat hari di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, Malaysia pada tiga tahun lalu bersama enam orang peserta lain yang turut menjadi tenaga pengajar mewakili Kampung Sungai Bunga pada masa ini.

    Antara produk keropok udang yang menjadi produk jualan 1K1P MPK Sungai Bunga.
    Awang Mohammad Husaini semasa menyampaikan taklimat Kursus Pemprosesan Makanan Laut anjuran MPK Sungai Bunga.

    Tenaga pengajar kursus semasa memberikan tunjuk ajar cara pembuatan keropok udang kepada para peserta kursus.

    Kursus Pemprosesan Makanan Laut anjuran MPK Sungai Bunga Tanjung Kindana, Mukim Kota Batu itu, telah dihadiri lebih kurang 20 orang peserta bagi mempelajari cara pemprosesan makanan laut menjadi keropok udang, bebola ikan, nuget ikan dan dim sum.

    Awang Mohammad Husaini menjelaskan semasa Negara Brunei Darussalam dilanda wabak COVID pada tahun 2020, mereka yang mengikuti kursus sebelum ini telah berjaya menambah hasil pendapatan melalui penjualan dan penghasilan produk makanan laut.

    “Ini terbukti bahawa industri pemprosesan makanan laut telah berjaya membantu golongan kurang berkemampuan di negara ini untuk menjana pendapatan sampingan mahupun seharian.

    “Contohnya, pada gelombang pertama COVID, sebanyak 400 bungkus keropok udang yang dihasilkan oleh MPK Sungai Bunga telah berjaya dijual.”

    Semasa kursus, Awang Mohammad Husaini bersama dengan tenaga pengajar yang lain telah menunjuk cara-cara penghasilan keropok udang di mana para peserta kursus turut diberikan kesempatan untuk mencuba membuat keropok itu sendiri.

    Awang Mohammad Husaini telah menyatakan harapan dengan adanya kursus seumpamanya mampu merealisasikan hasrat kerajaan agar penduduk negara ini menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

    “Harapan saya melalui kursus ini, dengan yang kami peroleh di luar negara sebelum ini dapat menanai hasrat kerajaan untuk menjayakan program rintis dan menambah keyakinan diri para peserta untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” jelasnya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru anak muda di negara ini agar jangan malu untuk mempelajari dan mendalami ilmu pemprosesan makanan laut kerana apa yang dipelajari itu sedikit sebanyak mampu membantu menambah pendapatan kewangan mereka.

    Media Permata turut berkesempatan menemu bual salah seorang peserta kursus, Hajah Aidah binti Awang Asin yang menyatakan penghargaan kerana telah dijemput untuk mengikuti kursus seumpamanya.

    Beliau yang merupakan seorang peniaga di Pasar Pelbagai Barangan Gadong menjelaskan bahawa ia adalah kali pertama beliau mengikuti kursus pemprosesan makan yang telah banyak mengajar beliau cara-cara membuat makanan kering hasil tangan sendiri.

    “Kemungkinan saya akan mencuba membuat pemprosesan keropok udang secara praktikal di rumah, kemudian akan dijual di kedai-kedai dan gerai saya sendiri,” ucapnya ketika mengakhiri temu bual bersama penulis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...