Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Lapan orang belia Brunei, baru-baru ini, berpeluang menimba pengalaman menyertai bengkel-bengkel Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di luar negara.
Bengkel-bengkel berkenaan ialah Bengkel YSEALI mengenai Penglibatan Ekonomi di ASEAN (YSEALI Generation: ECommunity!) di Hanoi, Vietnam pada 1 hingga 4 Ogos lalu yang disertai enam orang belia tempatan manakala itu dua lagi menyertai Bengkel Perancangan Bandar dan Pertumbuhan Pintar YSEALI di Singapura pada 16 hingga 21 Mei lalu.
Sehubungan itu, satu sesi temu bual bersama belia-belia berkenaan telah diadakan hari ini di Starbucks, Mabohai, di mana mereka mengongsikan pengalaman menyertai bengkel-bengkel berkenaan. Turut hadir semasa sesi berkenaan ialah Pegawai Perhubungan Awam, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam, Catherine Muller.
Salah seorang peserta YSEALI Generation: ECommunity!, Dayangku Akmal Zawanah binti Pengiran Dr. Abdul Razak berkata beliau begitu teruja menyertai bengkel berkenaan kerana ia mengumpulkan para belia yang mempunyai latar belakang yang sama dan melalui bengkel itu beliau dapat mengembangkan lagi rangkaiannya dengan belia-belia lain di luar negara.
Menurutnya, sepanjang bengkel berkenaan, peranan belia begitu penting dalam sama-sama membantu ekonomi negara dan belia-belia di negara lain diseru untuk sentiasa berganding bahu untuk memberikan jalan penyelesaian dalam mana-mana krisis ekonomi yang melanda pada masa akan datang.
“Jika kita ingin ekonomi kita untuk berkembang dengan jayanya, kita juga perlu membantu masalah ekonomi di negara yang lain kerana ia juga turut memberi kesan kepada negara kita,” jelasnya.
Seorang lagi peserta, Dayang Nur Nadiah binti Kifli pula berkata, walaupun bengkel berkenaan berlangsung selama empat hari, ia diisikan dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang menarik serta aktiviti-aktiviti interaktif bersama peserta lain. Bengkel berkenaan, jelasnya lagi, memberikan peluang untuk memahami budaya dan isu-isu yang terjadi di negara lain.
Empat peserta lain yang menyertai bengkel berkenaan ialah Dayang Amal Nazirah binti Haji Abdul Mulok, Dayang Nurehsan binti Abdul Zabar, Dayang Nur Amalina Munyati binti Ismail dan Awang Muhammad Nabil’Arifin bin Haji Johani.
Program berkenaan telah disertai oleh 80 orang peserta dan profesional muda yang mempunyai minat dan pengalaman yang berkaitan dengan Komuniti Ekonomi ASEAN dan proses pembangunan dasar.
Sepanjang program tersebut, para peserta diberikan peluang untuk memahami lebih mendalam mengenai hubungan perdagangan Intra-AEC dan AS-ASEAN. Ahli-ahli YSEALI juga mempelajari mengenai kemahiran rundingan dan kemahiran advokasi daripada pakar-pakar ekonomi agar para peserta dapat memberikan impak yang lebih besar dalam komuniti mereka.
Sementara itu, Program YSEALI Perancangan Bandar dan Pertumbuhan Pintar pula telah melibatkan 60 peserta pemimpin muda dari 10 buah negara ASEAN dan Brunei diwakili oleh Dayang Masridah binti Mahmud dari Jabatan Bandaran dan Dayang Siti Nor Nazatul Saifa Fitra Fathrine binti Haji Mohd Rosellan yang merupakan pegawai di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Menurut Dayang Masridah, bengkel berkenaan sememangnya memberikan pelbagai faedah dalam berkongsi dan meningkatkan lagi kemahiran mereka malah bahan pembelajaran yang telah didedahkan juga dapat digunakan ke dalam skop kerja mereka agar dapat bekerja lebih rapat bersama masyarakat.
Dayang Siti Nor Nazatul Saifa Fitra Fathrine pula menyatakan bahawa perancangan bandar di Singapura begitu terkini dan teratur yang mana mereka sering melibatkan masyarakat sendiri sepanjang tempoh perancangan itu.
“Mereka sering kali mendapatkan maklum balas melalui perancangan yang disediakan dan mereka juga menggunakan idea-idea daripada masyarakat yang telah pun diberikan,” ujarnya.
Bengkel berkenaan juga mendedahkan para peserta kepada penyelesaian di Singapura dan di tempat lain serta memberi inspirasi kepada mereka untuk mencari jalan dan menerapkannya di negara sendiri dengan menggunakan urus tadbir dan dasar, pembasmian sosial, rakan kongsi rentas sektor dan teknologi.