Kongsi ilmu penghasilan produk makanan laut

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Bagi berkongsi ilmu penghasilan produk makanan laut bersama belia, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga menganjurkan kursus pemprosesan makanan laut bagi ahli Persatuan Belia-belia Belait (PEMBELA), di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjong kampung itu, kelmarin.

Seramai 36 orang peserta daripada PEMBELA menyertai kursus pembuatan produk makanan laut, antaranya sata ikan, bebola ikan, nuget ikan dan keropok lekor.

Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh ketika ditemui, menjelaskan acara dikelolakan MPK Sungai Bunga itu bertujuan mengongsikan kemahiran dengan para belia negara ini menghasilkan dan memproses makanan berasaskan produk laut.

Kursus sehari yang turut mengamalkan penjarakan fizikal bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan mengelakkan penularan virus, turut menyaksikan para peserta menghasilkan sendiri produk makanan laut untuk dikomersialkan.

Fasilitator kursus, Awang Mohammad Hussaini bin Ali Hassan berharap dengan adanya kursus tersebut, ia dapat mengasah kemahiran belia menghasilkan produk makanan mereka sendiri dan berupaya meningkatkan sumber pendapatan mereka sendiri, sekali gus membantu keluarga.

Para peserta berpeluang membuat praktikal pemprosesan makanan laut semasa kursus tersebut.