Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi inovasi, kukuh kerjasama di bawah SEAMEO

    BANGKOK, 29 NOV – Isu-isu penting berkaitan pentadbiran dan operasi organisasi, hal-hal kewangan dan program-program yang dicadangkan antara yang dibincangkan semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO HOM) kali ke-47 yang berlangsung di Royal Orchid Sheraton Hotel & Towers, Bangkok, Thailand.

    Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, mesyuarat yang berlangsung dari 26 hingga 28 November itu telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman bersama para pegawai Kementerian Pendidikan.

    Mesyuarat tahunan anjuran Sekretariat SEAMEO itu telah menghimpunkan pegawai-pegawai kanan, delegasi dan wakil kementerian-kementerian pendidikan dari 11 negara anggota SEAMEO, negara anggota bersekutu, ahli bersekutu, Pusat dan Rangkaian Serantau SEAMEO serta rakan kerjasama SEAMEO.

    Mesyuarat dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Thailand, Tuan Yang Terutama Surasak Phancharoenworakul.

    Dalam ucapannya, TYT Surasak Phancharoenworakul menekankan pentingnya membentuk pembangunan kanak-kanak dan belia dengan bekerjasama ke arah memupuk pemahaman dan ekosistem baharu yang sesuai dengan cabaran yang dihadapi pada masa ini, dengan mengambil kira pandemik, cabaran alam sekitar, perubahan iklim dan teknologi pesat dalam sektor pendidikan.

    Awang Aliuddin bersama pegawai Kementerian Pendidikan semasa menghadiri mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Awang Aliuddin bergambar ramai pada mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Mesyuarat tahun itu dimulakan dengan sesi perbincangan tertutup, diikuti dengan sesi khas dan sesi pleno. Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam telah dilantik sebagai Pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan SEAMEO HOM bagi Sesi Pleno dengan Vietnam selaku Timbalan Pengerusi.

    Dalam ucapan Awang Aliuddin, beliau mengucapkan penghargaan kepada mantan pengerusi dari Republik Filipina atas kejayaan dalam memimpin Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan SEAMEO selama dua tahun. Beliau menyeru mesyuarat itu untuk merebut peluang bagi mengongsikan inovasi, mengembangkan rangkaian dan mengukuhkan kerjasama di bawah SEAMEO seterusnya menyelaras usaha dalam memajukan masa depan pendidikan, sains dan budaya di seluruh Asia Tenggara.

    Awang Aliuddin juga berkesempatan untuk membentangkan laporan Negara Brunei Darussalam mengenai pelaksanaan Bidang Keutamaan SEAMEO. Antara perkara yang dikongsikan ialah pelaksanaan Kemahiran dan Pendidikan STEAM dan inisiatif Pendidikan Awal Kanak-kanak seperti pindaan kepada Akta Pendidikan Wajib.

    Mesyuarat SEAMEO HOM itu turut menyaksikan majlis penyampaian anugerah, di mana Brunei menerima tiga anugerah SEAMEO yang berprestij, mencerminkan komitmennya terhadap pendidikan dan inovasi.

    Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil memenangi Geran Projek SEAMEO SEPS sebanyak AS$3,000 bagi program makan tengah hari sihatnya, yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2025.

    Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana pula meraih tempat ketiga dalam Anugerah SEAMEO-Jepun Pendidikan bagi Pembangunan Mampan kerana mempromosikan pembelajaran STEM sepanjang hayat melalui penglibatan komuniti.

    Sementara itu, Dayang Suzanah binti Haji Kurus dari Sekolah Menengah Katok juga meraih tempat ketiga dalam Anugerah Ki Hajar Dewantara bagi pembentangan pendidikan sainsnya yang inovatif.

    Di samping itu, Mesyuarat Perundingan Laporan Permulaan Future4Girls, yang memberi tumpuan kepada kajian pemetaan polisi serantau mengenai jantina dan pendidikan, serta Pelancaran Laporan Kajian Rapid Scoping, yang membincangkan cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dan remaja yang tidak bersekolah di Asia Tenggara juga diadakan secara berturut-turut dengan mesyuarat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda