Kongsi kaedah belajar berkesan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-73 tahun, kira-kira 40 anak yatim terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 9 dan 10 yang akan menghadapi peperiksaan Brunei-Cambridge O level dan IGCSE telah menghadiri sesi ceramah motivasi yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.

Sesi ceramah anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI) dengan sokongan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan itu telah ditaja bersama oleh Avicenna Resources dan Miftah An-Nur Islamic International School.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli, wakil dari JPI dan pengasas Avicenna Resources, Dayang Nor Alina binti Haji Ramli.

Sesi Perkongsian Kecemerlangan Ilmu Pengetahuan dan Akademik itu antara lain berobjektif untuk memberikan motivasi dan semangat kepada pelajar-pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan pembentukan insan, berkongsi kaedah-kaedah belajar yang sudah terbukti berjaya dan berkesan, memberi landasan dakwah dan mengimarah masjid.

Ceramah motivasi berkenaan disampaikan oleh Ahmad Anwaar bin Muhammad Saifullah yang merupakan pelajar perubatan tahun akhir Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Antara maklumat yang dikongsi sepanjang ceramah motivasi berkenaan ialah tentang kaedah-kaedah belajar terkini yang dipraktikkan oleh Ahmad Anwaar, pengurusan masa, kaedah pemikiran dan pengawalan diri setiap pelajar, pembentukan minda (mindset) ke arah kematangan dan kecemerlangan pembelajaran.

Ahmad Anwaar ketika berkongsi tentang kaedah-kaedah belajar terkini kepada pelajar Tahun 9 dan 10.
Antara pelajar Tahun 9 dan 10 yang hadir pada sesi ceramah motivasi di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.