Kongsi keceriaan aidilfitri

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 11 JUN – Anak-anak yatim dan fakir miskin dari kawasan Mukim Seria telah diceriakan dalam Majlis Rumah Terbuka anjuran Massutera Engineering Sdn Bhd yang diadakan di Grand Seria Bowling Centre.

Pada majlis itu, anak-anak yatim dan fakir miskin yang hadir turut menerima sumbangan selain berpeluang bermain pelbagai permainan dan aktiviti menyeronokkan yang terdapat di pusat berkenaan dan menikmati pelbagai hidangan menyelerakan dengan bufet yang disediakan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tahunan itu ialah Ketua Pegawai Agama Daerah Belait, Awang Mohd Aliyani bin Ismail yang dialu-alukan oleh Pengarah Urusan syarikat, Haji Muhammad Alfie bin Omar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai agama serta kakitangan syarikat berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat, acara berkenaan diadakan untuk mengurangkan beban anak-anak dan fakir miskin berkenaan bagi memastikan mereka dapat sama-sama menghargai dan meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Pada majlis itu, ramai jemputan mengambil peluang bermain boling, sementara yang lain bermain mesin-mesin arked malah mereka juga dapat menyaksikan filem terkini di panggung wayang.

Haji Muhammad Alfie melahirkan harapan agar semua yang hadir berseronok pada majlis itu dan berkongsi saat dan kegembiraan bersama.

Semasa temu bual ringkas, beliau juga menyatakan rasa teruja bagi lebih banyak peluang pada masa hadapan bagi syarikat itu berinteraksi dan membuat impak positif kepada masyarakat sekitar.

Dengan kejayaan acara yang diadakan di pusat tersebut, syarikat berkenaan akan terus mengadakan acara yang serupa selain aktiviti-aktiviti amal pada masa hadapan untuk membantu mengukuhkan silaturahim dengan masyarakat sekitar serta untuk membantu mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para hadirin.
Awang Mohd Aliyani ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Massutera Engineering Sdn Bhd yang diadakan di Grand Seria Bowling Centre.
Awang Mohd Aliyani bersama Haji Muhammad Alfie ketika menyampaikan sumbangan.
Sumbangan daripada tetamu kehormat bagi menceriakan mereka yang memerlukan bantuan.
Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain mesin arked.
Para hadirin menikmati hidangan istimewa Hari Raya.
Selain menikmati juadah, kanak-kanak juga berpeluang bermain boling.