Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Antara kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadan ialah ibadah fardu yang dilakukan di sepanjang bulan suci ini akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah SWT sehingga 70 kali ganda malah sehingga 700 kali ganda bahkan sehingga tidak terhingga.
Selain kelebihan tersebut, ada lagi lima keistimewaan Ramadan yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan umatnya, kongsi Ketua Kaunseling dan Kefahaman Ugama di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Saharuddin bin Haji Petra dalam tazkirah bertajuk ‘Kelebihan dan Kemuliaan Ramadan’, di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), baru-baru ini.
Tazkirah yang diadakan selepas solat Fardu Jumaat itu telah dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penaung-penaung MRSB.
Menurut Haji Saharuddin, antara lima keistimewaan itu ialah pada malam pertama Ramadan, Allah akan memerhatikan hambanya, sesiapa yang diperhatikan pada malam tersebut ia tidak akan diazab selama lamanya, bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum daripada kasturi, para malaikat mendoakan dan memohonkan keampunan kepada Allah siang dan malam kepada orang yang berpuasa di sepanjang bulan Ramadan, syurga-syurga diperintahkan oleh Allah untuk bersedia dan berhias sebagai ganjaran orang yang berpuasa dan akhir bulan Ramadan (malam Hari Raya atau malam pukul) adalah malam yang paling ramai orang yang mendapat keampunan Allah iaitu disebut dalam hadis Yaumul Jaizah (hari menerima hadiah).
Menurutnya, kelebihan dan kemuliaan Ramadan adalah dikurniakan Allah adalah sebagaimana Allah memuliakan Mekah dengan adanya kaabah dan bumi Madinah dengan adanya makam Rasulullah iaitu Rasul yang membawa agama Islam.
“Mudah-mudahan dengan usaha kita mempunyai niat dan azam yang baik, melakukan amal soleh hanya kerana Allah SWT dan menjaga serta memelihara apa yang sepatutnya dilaksanakan dalam bulan Ramadan, segala kelebihan dan kemuliaan Ramadan akan dapat diraih,” jelasnya.