Kongsi kemeriahan Raya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Kerjasama dan hubungan erat antara Kementerian Kesihatan dan Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) terus ditingkatkan bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mendapat penjagaan serta perkhidmatan kesihatan terbaik daripada kerajaan.

Harapan itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapan ringkas semasa Majlis Berhari Raya bersama KACA di rumah kediaman beliau di Kampung Sungai Hanching, hari ini.

Selain mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua kanak-kanak KACA, ibu bapa dan jemputan khas di majlis berkenaan, beliau yang hadir bersama isterinya, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee, juga menjelaskan majlis seumpamanya akan mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin antara kementerian dan persatuan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

Majlis yang dihadiri seramai 60 orang kanak-kanak berkenaan diketuai oleh Presiden Persatuan KACA Brunei, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.

Pada majlis berkenaan, Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Halim bin Haji Awang Othman dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan, isteri serta keluarga atas jemputan bagi sama-sama meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana ia menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah serta Dato Paduka Haji Zainal bergambar ramai bersama kanak-kanak KACA, keluarga dan jemputan khas.
Para jemputan menikmati pelbagai juadah makanan yang disediakan semasa Majlis Berhari Raya bersama Persatuan KACA di kediaman Yang Berhormat Menteri Kesihatan kelmarin.