Kongsi kepakaran dalam kemajuan pembangunan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar, membuat kunjungan hormat kepada Menteri Perancanaan Pembangunan Nasional, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Bambang Permadi Soemantri Brodjonegoro, di Jakarta, Republik Indonesia, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan, di sini, hari ini, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi berada di Jakarta, Republik Indonesia bagi menghadiri Conference of Federation of ASEAN Engineering Organizations (CAFEO) yang ke-37.

Kenyataan menjelaskan bahawa semasa perjumpaan itu, kedua-dua menteri bertukar-tukar maklumat mengenai teras perniagaan, visi dan misi kementerian serta cabaran-cabaran yang dihadapi.

Menyentuh mengenai Kalimantan Timur yang akan menjadi ibu kota baharu negara itu, TYT Profesor Dr Bambang berkongsi bahawa pihak Kementerian Perancanaan Pembangunan Nasional telah ditugaskan untuk mengkaji lokasi di Kalimantan dan membuat penyediaan pelan induk bagi cadangan ibu negara baharu tersebut.

Kedua-dua menteri mengambil maklum akan keperluan dan kepentingan beberapa penilaian kesan terhadap sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Profesor Dr Bambang. – Gambar oleh Kementerian Pembangunan

Dalam perbincangan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi menyatakan bahawa terdapat peluang untuk Kementerian Pembangunan memperoleh manfaat dan berkongsi kepakaran daripada Kementerian Perancanaan Pembangunan Nasional.

Kedua-dua menteri juga berharap untuk bekerjasama dan meningkatkan hubungan yang lebih rapat antara kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, kenyataan menyatakan bahawa pada 12 September lalu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi mengunjungi Ibu Pejabat Setiausaha ASEAN di Jakarta, di mana beliau disambut oleh Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi, di Ibu Pejabat Setiausaha ASEAN, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Semasa lawatan kerja tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah disampaikan taklimat mengenai struktur organisasi ASEAN dan meninjau ke pejabat-pejabat setiausaha, dewan-dewan persidangan dan kemudahan-kemudahan yang tersedia di ibu pejabat berkenaan.

Turut menyertai kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi berkenaan ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Jakarta, TYT Dato Seri Pahlawan Haji Yusof bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lim Sui Kau Alice serta pegawai kanan Kementerian Pembangunan.