JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 7 SEPT – Lebih banyak kerjasama dialu-alukan dalam perlindungan alam sekitar serta penyesuaian dan pengurangan kesan-kesan perubahan iklim, melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik demi melengkapkan rantau ini dengan dasar dan teknologi baharu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa bertitah pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-13 di Pusat Konvensyen Jakarta, Republik Indonesia, hari ini serta keberangkatan ke beberapa lagi sidang kemuncak lain.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Semasa sidang kemuncak tersebut, Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran-cabaran geopolitik dan sosioekonomi yang berterusan telah mengganggu kemajuan ke arah mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Perubahan iklim merupakan salah satu lagi faktor signifikan yang menjejaskan kemajuan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Antonio Guterres dalam kenyataannya menyatakan tiga bidang yang penting kepada Perkongsian Komprehensif ASEAN-PBB iaitu komitmen terhadap memajukan keamanan dan diplomasi, pelaksanaan Konsensus Lima Perkara bagi menangani situasi di Myanmar, dan keperluan untuk tindakan iklim.
Presiden Republik Indonesia dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Joko Widodo, kemudian menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Hubungan Dialog ASEAN-PBB, menyeru sokongan PBB untuk menjadikan ASEAN lebih berdaya tahan dan adaptif, dengan menegakkan peraturan antarabangsa termasuk UN Convention on the Law of the Sea 1982, dan prinsip serantau termasuk Treaty of Amity and Cooperation.
Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-3
Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-3 di mana Baginda bertitah menyatakan bahawa kerjasama ASEAN-Australia telah berkembang maju dalam semua Tonggak Komuniti ASEAN dan menyumbang kepada keamanan dan pembangunan serantau sejak beberapa dekad yang lalu.
Ke arah ini, Baginda menzahirkan penghargaan ke atas Australia for ASEAN Futures Initiative yang mengetengahkan kerjasama dalam bidang-bidang keutamaan untuk manfaat bersama.
Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia yang akan berlangsung di Melbourne, Australia pada Mac 2024.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Anthony Albanese menyatakan rasa puas hati dengan kerjasama antara ASEAN dan Australia yang telah meningkat sejak persetujuan untuk menubuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia.
Ia dihasratkan untuk memelihara keamanan dan kemakmuran rantau ini, dan sekali gus menangani cabaran-cabaran yang sukar seperti perubahan iklim dan jenayah rentas sempadan.
Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone, selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-Australia, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN yang antara lainnya menghargai penyertaan Australia yang penuh bermakna dalam mekanisme dipimpin ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN, Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus dan Forum Maritim ASEAN, serta usaha-usaha serantau bagi mengatasi cabaran perubahan iklim.
Dalam sidang berkenaan, para pemimpin menghargai inisiatif-inisiatif yang diterajui Australia dalam mengukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia termasuk Australia for ASEAN Futures Initiative.
Majlis penutup sidang dan penyerahan Pengerusi ASEAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Demokratik Rakyat Laos.
Majlis penutup dimulakan dengan Ucapan Penutup daripada TYT Joko Widodo yang melahirkan penghargaan kepada semua pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.
Tuan Yang Terutama seterusnya menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN kepada TYT Sonexay Siphandone melalui penyerahan Gavel Pengerusi ASEAN sebagai penyerahan simbolik kepada Republik Demokratik Rakyat Laos yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2024.
Ini diikuti dengan ucapan daripada TYT Sonexay Siphandone yang antara lainnya menekankan mengenai isu-isu yang akan diutamakan oleh Laos pada 2024 selaku Pengerusi ASEAN di bawah tema ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience, dan persembahan sebuah tayangan video daripada Laos selaku Pengerusi ASEAN 2024.