Kongsi minat tinju menerusi Jab Gym

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Atas minat terhadap sukan tinju yang bermula semasa dalam latihan ketenteraan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen telah berkenan membuka gim tinju, Jab Gym untuk berkongsi minat terhadap sukan berkenaan dengan semua orang.

Ketika ditemui pada pembukaan gim berkenaan, hari ini, Duli Yang Teramat Mulia turut melahirkan harapan untuk melihat lebih ramai orang di Brunei untuk lebih bergiat aktif dan menjalani gaya hidup sihat.

Bagi Duli Yang Teramat Mulia, kecergasan adalah penting kerana ia menjadikannya produktif dan lebih bertenaga.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi gim berkenaan yang terletak di ibu negara, Duli Yang Teramat Mulia menekankan pemandangannya yang indah.

Gim berkenaan dilengkapi kemudahan kecergasan terkini dengan kumpulan pelatih elit yang terpilih termasuk bekas juara tinju dan jurulatih-jurulatih kecergasan Brunei yang terkenal.

Menawarkan latihan tinju tahap tinggi, peralatan gim canggih dan kelas-kelas berkumpulan daripada yoga, boxercise, TRX dan high-intensity circuit training, Duli Yang Teramat Mulia menekankan apa yang paling penting adalah bagi semua orang datang menggunakan kemudahan gim bertaraf dunia.

Dengan membawa slogan ‘Make an Impact’, gim berkeluasan hampir 10,000 kaki persegi berkenaan turut memberikan suasana selesa buat pengunjung dan pelanggan yang datang, bermula daripada ruangan Juice Bar yang tersusun rapi dan beberapa kemudahan canggih dan terbaharu disediakan untuk pelanggan gunakan dengan lebih fokus dan selesa.

Hadir menyaksikan pembukaan gim berkenaan ialah menteri-menteri kabinet yang melihat lebih dekat kemudahan-kemudahan yang terdapat di sana.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai bersama menteri-menteri kabinet dan tetamu khas yang hadir semasa pembukaan Jab Gym.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan beramah mesra bersama menteri-menteri kabinet dan jemputan khas.