Kongsi pengalaman ajar Bahasa Mandarin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Dalam usaha untuk berkongsi pengalaman dan amalan pengajaran yang baik dalam kalangan guru sekolah, Sekolah Chung Hwa Kiudang mengadakan Sesi Perkongsian bagi Mengajar Bahasa Mandarin kepada Penutur Bukan Cina yang diadakan di Dewan Mini, Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini.

Sesi perkongsian berkenaan mengetengahkan dua orang guru dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Dayang Siti Kailene binti Mohd Jazlan Kashfi dan Khor Shuh Ning.

Semasa sesi perkongsian itu, kedua-dua guru berkenaan berkongsi mengenai pengalaman mereka mengajar Bahasa Mandarin kepada penutur bukan Cina serta cabaran yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasi cabaran-cabaran berkenaan.

Sesi perkongsian itu juga menyaksikan para guru mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti dan pada akhir sesi, kedua-dua guru berkenaan menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengetua Sekolah Chung Hwa Kiudang, Loo Shee Yun.

Penerangan dan aktiviti yang diadakan semasa sesi perkongsian yang diadakan di Dewan Mini, Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini. – Gambar serahan SCH Kiudang