Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kongsi pengalaman dalam masa mencabar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Lebih 150 orang telah menghadiri Forum Youth Town Hall Brunei edisi ke-3 yang diadakan sempena Hari Belia Kebangsaan di bawah Konvensyen Program Belia Brunei di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Forum yang turut diadakan secara maya itu dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Rangkaian Profesional Muda (YPN) Brunei.

    Mengetengahkan tema ‘Kepimpinan dalam Masa Ketidakpastian’, forum mendengarkan perkongsian di sebalik kejayaan dan cabaran bersama Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama telah berkongsi dan membincangkan tentang perjalanan kerjaya dan kepimpinan beliau, dakwah dalam kalangan belia, pemuliharaan nilai negara iaitu Melayu Islam Beraja (MIB), dan peralihan kepimpinan dalam masa lalu dan baru-baru ini dalam masa yang tidak menentu.

    Menyentuh mengenai pendidikan, Yang Berhormat Pehin mengingatkan bahawa Bahasa Inggeris yang dipelajari bukan untuk menggantikan bahasa ibunda tapi ia diperkenalkan adalah bagi mempercepatkan proses mendapatkan ilmu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan diundang bagi berkongsi pengalaman semasa forum tersebut. – Gambar oleh Adib Noor

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut berkongsi dan membincangkan kerjaya beliau dan perjalanan kepimpinan dalam bidang perubatan dan perkhidmatan awam.

    Beliau turut menekankan tentang kepentingan kesihatan mental, pengurusan masa, dan keseimbangan kerjakehidupan sebagai pemimpin.

    Yang Berhormat Dato menekankan, setiap kejayaan pasti ada cabaran yang perlu dilalui dan cabaran tersebut hendaklah diterima dengan hati yang terbuka, membuat yang terbaik dan ikhlas dalam melaksanakannya untuk mendapat keredaan Allah.

    Di samping itu, beliau turut memberi kata-kata motivasi supaya terus menumpukan kepada perkara-perkara yang positif selain melakukan perkara yang boleh dicapai, kerana masa bergerak dengan pantas tanpa disedari.

    Menurut kenyataan yang diberikan, tema forum menyeru para belia untuk mengatasi gangguan yang dibawa oleh COVID-19 melalui pembangunan kesiapsiagaan dan daya tahan terutamanya semasa wabak masih menular di seluruh dunia.

    Dalam memberi peluang kepada belia di negara ini, Youth Town Hall Brunei telah memberi peluang untuk mendengar daripada menteri-menteri jemputan mengongsikan perjalanan mereka dalam memimpin masa yang tidak menentu dan memahami kepentingan dalam menyesuaikan diri dengan normal baharu ini dan meningkatkan untuk menjadi ejen perubahan masa depan.

    Turut hadir pada forum tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai KKBS.

    Forum tersebut dipengerusikan oleh pengasas bersama YPN Brunei, Dayang Fatin binti Arifin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...