Kongsi pengalaman, ilmu tangani kanser

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Penyakit yang kompleks seperti kanser harus ditangani daripada pelbagai sudut dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi di mana menerusi perkongsian pengalaman dan ilmu pengetahuan ia mampu untuk merangkumi pelbagai kaedah serta tindakan yang diperlukan bagi kawalan kanser.

Kawalan kanser di rantau ini termasuk di Borneo di mana kanser merupakan salah satu penyebab kematian utama di Brunei, telah membawa kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan pengurusan terkini supaya dapat menjana peluang bagi pengesanan awal dan rawatan penjagaan yang lebih baik untuk pesakit-pesakit kanser.

Walaupun pengurangan risiko boleh dicapai menerusi pencegahan, strategi-strategi berkenaan tidak dapat menghapuskan pelbagai jenis kanser yang biasanya dikesan di peringkat yang lanjut di mana penjagaan paliatif merupakan satu-satunya intervensi yang boleh dilakukan.

Dalam statistik itu, Brunei tidak terkecuali di mana negara telah menyaksikan peningkatan kes-kes kanser setiap tahun tetapi di sebalik itu, menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Persidangan Perubatan Onkologi Borneo, ia telah menunjukkan bagaimana semua pihak dan masyarakat mengambil berat serta bekerjasama untuk menangani penyakit berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dalam kata alu-aluannya pada Persidangan Perubatan Onkologi Borneo yang berlangsung di Dewan Kuliah, PJSC, Jerudong, hari ini.

Dr Haji Mazrul Adimin semasa menyampaikan kata alu-aluannya pada Persidangan Perubatan Onkologi Borneo di Dewan Kuliah, PJSC, kelmarin.

Dalam menangani isu berkenaan, ulasnya, salah satu pendekatan strategik ialah untuk membina kerjasama dalam sektor kesihatan daripada pihak sektor swasta dan awam di mana kerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan utama itu, adalah amat penting untuk mencapai satu matlamat yang penting iaitu untuk meningkatkan lagi sistem perubatan dan meningkatkan kualiti kehidupan bekas-bekas pesakit kanser.

Mengulas lanjut mengenai persidangan itu, Dr Haji Mazrul Adimin berkata, ia memberikan peluang kepada para peserta untuk mempunyai dialog konstruktif di mana bukan sahaja mereka dapat belajar daripada satu sama lain tetapi ia juga membolehkan mereka untuk membincangkan kaedah terbaik bagi memperkukuhkan lagi inisiatif-inisiatif saringan, pencegahan dan pengurangan kanser dalam masyarakat dengan penekanan kepada kepentingan pengurusan pelbagai disiplin serta untuk mengemaskinikan diri kita dengan pengurusan kanser terkini.

Persidangan itu mengetengahkan tiga orang penceramah undangan yang pakar dalam bidang mereka dari United Kingdom iaitu Ketua Pegawai Perubatan, Proton Partners International, Profesor Karol Sikora, Pakar Onkologi Perubatan, St Thomas’ and Guy’s Hospital, Dr Mark Harries dan Profesor Onkologi Perubatan, St Georges Hospital, London, Profesor Angus Dalgleish.

Persidangan itu juga mengetengahkan panel perbincangan yang menampilkan tiga orang penceramah undangan berkenaan bersama pakar dari PJSC, Konsultan Onkologi Perubatan, Dr Lu Shir Kiong, Konsultan Onkologi Radiologi, Dr Haji Jamsari Khalid, Konsultan Doktor Perubatan Nuklear, Dr Hamid Naseer dan Pengarah Perubatan PJSC serta Pengarah Pusat Kanser Brunei (TBCC), Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran.

Persidangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen PJSC dalam menyediakan peluang pendidikan berterusan kepada doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu di Borneo dan serantau.

Persidangan itu dihadiri oleh lebih 150 orang peserta di mana ia memberikan peluang kepada mereka untuk berbincang dan mendengar pembentangan yang menumpukan kepada tajuk-tajuk seperti penyelidikan kanser, perkembangan teknologi dalam pengurusan kanser, imunoterapi, kanser payudara dan aplikasi klinikal terapi proton dalam pengurusan kanser.

PJSC juga menyatakan hasrat untuk menghoskan lebih banyak acara dan ceramah pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada komitmennya ke arah menyediakan pendidikan berterusan bagi mereka yang bertugas di industri penjagaan kesihatan bukan sahaja di Brunei tetapi juga di Borneo.