Kongsi pengalaman, tingkat pengetahuan kejurulatihan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Akademi Kelab Sukan Indera (ISCA) telah membuat persiapan jurulatih pembangunan belia mereka sebelum memulakan program ISCA yang menumpukan kepada bola sepak akar umbi.

Sesi taklimat dan pembelajaran pertama yang dijalankan memberikan platform yang sangat baik kepada barisan 15 jurulatih ISCA untuk berkongsi pengalaman, idea dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang kejurulatihan masing-masing terutama untuk pengembangan bola sepak akar umbi hingga ke peringkat belia.

Disampaikan oleh Ketua Pembangunan Belia ISCA, Awang Roney bin Morni, sesi taklimat menggariskan strategi yang harus dimiliki oleh setiap jurulatih.

Beliau juga menekankan kepentingan jurulatih untuk memainkan peranan penting dalam menanamkan sikap berdisiplin kepada para pemain.

Sementara itu, jurulatih penjaga gol pasukan pertama ISC, Pengiran Omar Nur Aqamaddin bin Pengiran Sallehuddin, yang juga selaku pemain kebangsaan, berkongsi pengalamannya dan bertukar pandangan dalam membentuk kekuatan mental para pemain.

Terdahulu, Pengurus Am ISC, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berharap agar jurulatih ISCA menggunakan peluang belajar untuk menambahkan pengetahuan bimbingan mereka dan seterusnya dapat merealisasikannya sepanjang program pembangunan di kemudian hari.

Beliau turut menambah bahawa jurulatih bertindak sebagai role model dan pembimbing yang akan diikuti oleh anak-anak di peringkat akar umbi.

Beliau yakin bahawa program pembangunan berkenaan akan menghasilkan impak yang positif di masa depan.

Sesi bergambar ramai selepas taklimat program ISCA. – Gambar serahan ISC