Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi perkembangan cuaca dan jerebu

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Negara Brunei Darussalam amat beruntung kerana mempunyai kualiti udara yang baik sepanjang tahun dan berharap ia akan berterusan semasa Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada Oktober nanti.

    Oleh itu, Mesyuarat Jawatankuasa ke-13 Persidangan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-13 to AATHP) dilihat sebagai jentera penggerak di peringkat kebangsaan dan serantau dalam mengumpulkan usaha bersepadu dan kolektif bagi pengurusan kebakaran hutan dan tanah yang lebih baik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah dalam ucapannya selaku Pengerusi Mesyuarat COP-13th to AATHP yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau menambah bahawa pada 2016, rantau selatan ASEAN telah mengalami kelompok panas, kebakaran hutan serta masalah asap jerebu merentas sempadan yang berkurangan meskipun berlakunya tempoh cuaca kering.

    Mesyuarat itu dihadiri oleh kira-kira 80 orang delegasi dari kesemua 10 buah negara anggota ASEAN termasuk wakil-wakil daripada Sekretariat ASEAN, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) dan pihak-pihak berkuasa tempatan termasuk Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam serta jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan.

    Gambar ramai delegasi mesyuarat dari negara-negara ASEAN.

    Semasa mesyuarat berkenaan, delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak di mana antara agenda mesyuarat adalah untuk mengkaji semula situasi cuaca dan asap jerebu oleh ASMC dan pembentangan oleh wakil-wakil negara anggota ASEAN yang mengetengahkan mengenai situasi kebakaran dan jerebu di negara masing-masing dan mengongsi perkembangan kegiatan serta tindakan yang diambil di peringkat negara dalam menangani pencemaran jerebu merentas sempadan.

    Agenda mesyuarat berkenaan turut mengetengahkan perkembangan terkini oleh negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN berhubung dengan pelbagai kegiatan kebangsaan dan serantau dalam pelaksanaan AATHP dengan menumpukan kepada langkah-langkah pencegahan dan pengurangan.

    Di samping itu, perkembangan Peta Jalan bagi Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu dengan Cara Pelaksanaan turut dibincangkan yang mana ia merupakan rangka kerja strategik bagi pelaksanaan tindakan bersama untuk mengawal dan menyelesaikan masalah pencemaran jerebu merentas sempadan di rantau ASEAN untuk mencapai visi ASEAN Bebas Jerebu Merentas Sempadan menjelang 2020, di mana ia disampaikan oleh Sekretariat ASEAN.

    Mesyuarat COP-13th to AATHP diadakan untuk mengkaji semula dan memberikan perkembangan terkini mengenai kerjasama serantau berhubung isu-isu ber-kaitan jerebu sebagai persiapan bagi Mesyuarat Persidangan AATHP (COP-13 to AATHP).

    AATHP bermatlamat untuk mencegah dan memantau pencemaran jerebu merentas sempadan yang disebabkan oleh kebakaran tanah atau hutan yang perlu dikurangkan melalui usaha kebangsaan yang bersepadu dan menerusi kerjasama lebih kukuh serantau dan antarabangsa.

    Perjanjian itu ditubuhkan pada 2002 dan diurus oleh menteri-menteri alam sekitar ASEAN dan wakil-wakil lain dari negara-negara anggota ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda