Kongsi perkembangan pertanian, penternakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pegawai-pegawai di Kementerian Pertanian, kerajaan Bangladesh dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini, telah mengadakan pertemuan secara maya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai pertanian dan ternakan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona memudahcarakan sesi tersebut dan memperkenalkan kedua-dua belah pihak.

Delegasi Bangladesh telah diketuai oleh Setiausaha Bersama, Kementerian Pertanian, Dr Md Abdur Rouf manakala itu, delegasi seramai 10 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan KSSUP pula diketuai oleh Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah.

Kenyataan menyatakan, wakil delegasi Brunei dan Bangladesh menyampaikan pembentangan mengenai perkembangan bidang pertanian dan ternakan di negara masing-masing.

Antara yang dikongsikan adalah mengenai topik Peluang Perniagaan dalam Sektor Pertanian dan Agrimakanan (di Brunei) dan Pertanian Pintar dan Transformasi Digital di Bangladesh.

Mesyuarat turut mendengarkan pembentangan mengenai Pertanian Pintar Sawah Padi: Tuaian Tinggi Varieti dan Sistem Pengairan Efektif serta Teknologi Pemprosesan dan Pembungkusan Pintar.

Di akhir pertemuan, delegasi Bangladesh telah dijemput untuk melawat Negara Brunei Darussalam bagi meneroka lebih banyak bidang kerjasama dalam isu berkenaan.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh juga menyampaikan jemputan khas untuk delegasi Brunei untuk membuat lawatan ke Bangladesh dan melihat lebih dekat mengenai perkembangan dalam sektor pertanian dan kawasan sekitarnya di bawah pengendalian kepimpinan Perdana Menteri Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina.

Dalam mesyuarat berkenaan turut menekankan mengenai pengeksportan kambing benggala hitam ke Negara Brunei Darussalam yang telah dibincangkan sebelumnya bersama Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

PYT Nahida Rahman Shumona memudahcarakan pertemuan secara maya berkenaan. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam