Konkrit keluli dari Singapura, Turki dikenakan duti antilambakan

KUALA LUMPUR, 22 JAN – Kerajaan membuat penentuan muktamad untuk mengenakan duti antilambakan ke atas batang penulangan konkrit keluli yang diimport dari Singapura dan Turki, selepas siasatan ke atasnya selesai.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), siasatan mengikut Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 itu dilakukan selepas menerima petisyen daripada Persatuan Keluli Malaysia bagi pihak pengeluar tempatan.

“Pempetisyen mendakwa pengimportan dagangan konkrit keluli dari Republik Singapura (Singapura) dan Republik Turki (Turki) berkenaan ke Malaysia adalah pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut, dan tindakan itu menyebabkan kemudaratan material ke atas industri tempatan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Duti antilambakan itu dikenakan ke atas Natsteel Holdings Pte Ltd pada 4.97 peratus manakala yang lain dikenakan pada kadar 17.65 peratus.

Bagi Turki, duti dikenakan ke atas Diler Iron and Steel Co Inc pada 3.62 peratus, manakala yang lain pada kadar 20.09 peratus, dan Colakoglu Metalurji A.S (sifar). – Bernama