Kono umum bertanding kepimpinan parti

TOKYO, 10 SEPT – Taro Kono (gambar), bekas menteri luar dan pertahanan Jepun yang pada masa ini mengetuai kempen vaksinasi Jepun, mengumumkan beliau akan bertanding dalam pengundian kepimpinan Parti Liberal Demokratik hari ini.

Salah seorang daripada tokoh politik paling dikenali di negara itu, Kono merupakan pesaing teratas bagi jawatan itu, yang perlu direbut selepas Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata dia mahu berundur.

Sesiapa sahaja menang pemilihan pada 29 September kelak, akan menge-tuai parti dalam pilihan raya umum dalam Oktober atau November dan Kono mengatakan beliau akan bertanding bagi memastikan ‘Jepun maju ke hadapan.’

“Jepun mungkin tampaknya pegun sahaja manakala negara-negara lain sedang cuba secara aktifnya maju ke depan. Mungkin dahulu Jepun berada di kedudukan teratas, malangnya kini kita bukan lagi pelari paling di depan,” katanya.

“Kita mesti menolak halangan besar di hadapan kita dan membuka laluan maju ke depan,” katanya.

Kono yang pada masa ini menteri bagi pentadbiran reformasi, mengatakan beliau mahu mempertingkatkan kekuatan teknologi Jepun melalui grid pintar dan 5G serta menyelar birokrasi kerajaan yang menurutnya memperlahankan vaksinasi. – AFP