Konsep berniaga tiga dalam satu jadi amalan Munzir

Oleh Muhammad Faiz Baharin

 

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Anak jati Kuala Lumpur ini Munzir Md Zin, 25, menekankan konsep ‘tiga dalam satu’ dalam menjalankan perusahaan membuat perabot.

Bukan sahaja mementingkan keuntungan, namun pengasas bersama syarikat Kayu Besi Trading ini yang beroperasi di Kompleks IKS Sg Tangkas, Kajang, Selangor turut mementingkan kebajikan anak-anak yatim dan alam sekitar.

“Bagi memulihara alam sekitar misalnya, kami mengamalkan konsep kitar semula dengan menggunakan palet-palet dari sisa industri di sekitar Lembah Klang,” kata lulusan Teknologi Komunikasi, Universiti Kuala Lumpur ini kepada Bernama.

“Dan bagi membantu anak-anak yatim pula, kami bercadang memperuntuk beberapa peratus dari setiap hasil jualan produk kami kepada badan kebajikan atau pertubuhan anak yatim,” tambahnya.

Munzir berkata sememangnya menjadi hasrat beliau dan dua lagi rakan kongsinya untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan kurang berkemampuan.

Antara rekaan perabot yang dikeluarkan oleh syarikat Kayu Besi Trading milik usahawan sosial Munzir Md Zin yang bertempat di Kompleks IKS Sg Tangkas, Kajang, Selangor. 
Antara rekaan perabot yang dikeluarkan oleh syarikat Kayu Besi Trading milik usahawan sosial Munzir Md Zin yang bertempat di Kompleks IKS Sg Tangkas, Kajang, Selangor.

“Kini kami sudah ada dua pekerja dari golongan kurang mampu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai falsafah perniagannya, beliau berkata: “Kayu BesiTrading mahu meneruskan inisiatif membantu golongan sasar dan berpegang kepadakonsep perniagaan sosial yang bukan sahaja memberi pulangan kepada kami di dunia, malah pastinya saham untuk akhirat kelak.

“Biarpun konsep usahawan sosial masih baharu di negara ini, namun demi melunaskan azam serta yakin dengan potensi produk yang diketengahkan, kami nekad untuk menceburinya”.

Mengenai minatnya dengan usahawan sosial, beliau berkata ia bertitik tolak dari penyertaannya dalam banyak aktiviti kemasyarakatan semasa belajar di institusi pengajian tinggi dahulu.

Syarikat ini yang turut mengusahakan perhiasan rumah berasaskan kayu menghasilkan produk seperti almari, set meja makan, lampu hiasan, rak buku, rak pameran, kotak penyimpanan barang dan pelbagai tempahan lain yang boleh dibuat menerusi laman web kayubesi.com atau di laman Facebook dan Instagram ‘Kayu Besi’.

“Biarpun baharu ditubuhkan, Kayu Besi kini dapat menjana keuntungan cukup baik seiring memberi impak terhadap aspek sosial dan alam sekitar,” jelasnya. – Bernama