Konsep ‘E-Bazar Ramadan’ sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 12 APRIL – Lebih 3,000 peniaga dan penjaja berlesen di sekitar ibu kota bersedia untuk melaksanakan konsep ‘E-Bazar Ramadan’ kepada pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata meskipun tiada Bazar Ramadan pada tahun ini, perniagaan berasaskan makanan masih lagi boleh diteruskan secara ‘pandu-lalu’, ‘pilih dan bungkus’ serta penghantaran ‘e-hailing’.

Beliau berkata, menerusi ‘E-Bazar Ramadan’, pihaknya sedang mengenal pasti syarikat e-hailing yang sudi bekerjasama dengan mereka dalam memastikan juadah berbuka puasa dapat dihantar kepada pelanggan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami masih lagi dalam perbincangan untuk membangunkan sistem ini. Memandangkan PKP ini turut menggusarkan kebanyakan peniaga dan penjaja kerana bimbang tidak dapat berniaga sepanjang bulan Ramadan, jadi sekurang-kurangnya kaedah ini dapat membantu mereka menjana pendapatan.

“Kami turut akan membangunkan satu aplikasi khas untuk tujuan itu namun tertakluk kepada persetujuan pelbagai pihak, termasuk syarikat e-hailing dan para penjaja Bazar Ramadan,” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama