Konsert jelajah di United Kingdom

PENYANYI kacak, Alif Satar, bakal mengubati kerinduan penuntut Malaysia di United Kingdom (UK) dengan mengadakan konsert jelajah di negara itu. Bakal berangkat ke UK pada 13 Februari, Alif merancang mengimbas memori dengan mempersembahkan lagu lama nyanyiannya buat pelajar Malaysia yang menuntut di kawasan Bristol dan Sheffield.

“Kita tidak tahu apa yang mereka lalui dan hadapi sepanjang merantau di negara orang. Jadi, persembahan saya nanti disifatkan sebagai antara penghargaan untuk mengubati kerinduan mereka terhadap tanah air.

“Saya sendiri tidak menyangka, lagu yang pernah dipopularkan oleh saya kembali diputarkan di corong radio. Terharu rasanya apabila peminat kembali mengimbas memori menyanyikan lagu seperti Akhiri Penantianku, Lelaki Seperti Aku dan banyak lagi.”

“Lebih menarik, saya bukan sekadar mengadakan persembahan secara solo, sebaliknya ditemani oleh band iringan. Kami turut aktif memuat naik video di YouTube setelah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat,” katanya kepada media.

Bapa kepada dua cahaya mata itu bakal menyanyikan lebih 10 lagu dan turut menyelitkan beberapa dendangan yang dipopularkan oleh penyanyi lain.

Penyanyi lagu Sesungguhnya Aku itu turut meluahkan kesyukuran kerana tiket untuk persembahannya di dua bandar terbabit sudah habis terjual.

“Sudah lama sebenarnya saya menerima undangan untuk membuat persembahan di sana, tetapi asyik terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka, apatah lagi selepas mendengar pengalaman beberapa artis lain yang pernah menjayakan persembahan sama, sebelum ini.

“Ia tentunya pengalaman menarik buat saya dan band yang bakal mengiringi persembahan nanti. Memandangkan saya suka melancong, sambil bekerja, dapat juga saya berjalan-jalan pada masa yang sama,” kata Alif yang akan berada di sana selama seminggu. – Agensi

Bapa kepada dua cahaya mata itu bakal menyanyikan lebih 10 lagu dan turut menyelitkan beberapa dendangan yang dipopularkan oleh penyanyi lain. – Agensi