Konsert Khai Bahar sebelum akhir tahun

Konsert Khai Bahar ‘Dari Smule Ke Pentas Dunia’ yang ditangguhkan akibat COVID-19, diteruskan di lokasi baharu.

Penerbitnya, Fauziah Ahmad Daud memberitahu, kapasiti ditetapkan premis asal iaitu Istana Budaya (IB), di sini dianggap tidak berbaloi dengan kos konsert berkenaan.

“IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan semua kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik. Berikutan konsert ini tidak dibuat di pentas IB, maka nama konsert ini juga ditukar. Nama baharu akan diumumkan kelak,” katanya.

Konsert sulung Khai dijadual berlangsung dua hari pada 27 Mac lalu di IB. Bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19, konsert itu terpaksa ditangguhkan.

Konsert sulung Khai yang dijadual berlangsung dua hari pada 27 Mac lalu di IB terpaksa ditangguhkan dan lokasi baharu bakal diumumkan nanti. – Agensi

Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy berkata, pihaknya sedang berbincang mengenai beberapa perkara termasuk mendapatkan lokasi baharu.

“Saya sedia maklum dengan pertanyaan beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, selaku penganjur, saya tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.

“Seperti besarnya harapan peminat menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan yang sudah dirancang sejak awal tahun.

“Disebabkan insiden yang tidak dapat dielak iaitu pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah fasa pemulihan, semua perancangan tergendala,” katanya.

Tambah Ogy lagi, konsert yang sudah 80 peratus siap dipersembahkan itu menjanjikan pulangan terbaik buat peminat Khai Bahar.

“Sebelum semua aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai Bahar dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu, kami hanya menunggu tarikh sebenar konsert.

“Malah, selepas kelonggaran diberi kerajaan, pasukan sudah menyatakan kesediaan untuk kembali bekerja, begitu juga dengan Khai Bahar. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.

“Jika semua perbincangan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu konsert ini. Insya-Allah kita mahu anjurkan sebelum akhir tahun ini,” katanya. – Agensi