Konsert opera untuk tumbuhan hijau?

BARCELONA, 23 JUN – Cahaya lampu malap, tirai dibuka dan muzik bermula – semua tanda-tanda kehidupan normal telah kembali kepada panggung opera Liceu di Barcelona, kecuali tempat duduk diganti dengan kira-kira 2,300 tumbuhan.

Selepas ditutup beberapa bulan, panggung opera yang terletak di tengah Barcelona memutuskan untuk membuka pintunya dengan persembahan unik, metafora untuk lockdown berbulan lamanya apabila alam semula jadi mengganti ruang istimewa untuk orang.

Duduk di kerusi merah adalah pelbagai 2,292 pokok ara, palma dan tumbuhan Swiss, daun menghijau mereka bertentangan dengan tiang dan kumai hiasan emas dalam auditorium.

Di pentas, yang kosong sejak pertengahan Mac, pemain kuartet alat tali memainkan alunan melodi Puccini Crisantemi yang merdu, atau The Chrysanthemums.

Idea konsert timbul daripada artis Eugenio Ampudia semasa lockdown apabila kehidupan kota yang sibuk menjadi senyap, bunyi nyanyian burung jauh lebih jelas dan tumbuhan di rumahnya membesar lebih cepat.

Idea tersebut bertujuan membenarkan orang memikirkan konsep kemampanan dan hubungan mereka dengan alam semula jadi.

Konsert itu disiar secara langsung di laman web teater, maka mereka yang mahu boleh membukanya untuk didengar oleh tumbuhan mereka sendiri di rumah.

“Kita berada pada akhir era dan ia bermakna kita perlu mengubah paradigma tertentu,” kata Ampudia.

“Kita tidak hidup dalam dunia yang sama seperti 90 hari lalu, dan ini bermakna kita perlu merenung segala yang kita lakukan.” – AFP

Kuartet Uceli membuat persembahan untuk penonton yang terdiri daripada tumbuhan semasa konsert yang diwujudkan oleh artis Eugenio Ampudia dan disiarkan secara penstriman langsung sempena pembukaan Teater Besar di Barcelona pada 22 Jun 2020. – AFP