Konsert orkestra atas bumbung ceriakan Dresden

DRESDEN, JERMAN – Para pemuzik telah pergi ke bumbung blok pangsapuri dengan alphorn di kota Dresden di Jerman untuk membuat konsert bagi menceriakan penduduk Dresden yang kini berdepan dengan penularan koronavirus.

Pertunjukan orkestra Dresd-ner Sinfoniker pada hari Sabtu lalu, bertajuk ‘The Sky above Prohlis,’ menyaksikan 16 alphorn, sembilan buah trompet dan empat buah tuba dipasang hampir 50 meter (164 kaki) di atas permukaan tanah di bumbung blok menara di daerah Prohlis di bandar ini. Drum dan alat genderang lain diletakkan di tempat letak kereta berdekatan di atas pusat membeli-belah.

Penganjur mengatakan pertunjukan selama kira-kira satu jam, ketika peraturan penjarakan fizikal masih dikuatkuasakan di Jerman serta beberapa peraturan ketat dalam acara kebudayaan, terdiri dari komposisi yang ‘semuanya merangkumi idea bahawa beberapa kumpulan pemuzik berkomunikasi dalam jarak jauh.“

Mereka mengatakan acara itu juga merupakan jawapan untuk krisis pandemik yang dialami dunia ketika ini.

Penduduk tempatan juga berkesemapatan untuk menonton persembahan dari balkoni dan jalan-jalan di daerah ini.

Program Sabtu lalu tersebut termasuk ‘Fanfare,’ yang disusun untuk Sukan Olimpik 1984 oleh John Williams, sebuah karya dari 400 tahun sebelumnya oleh komposer Venesia Giovanni Gabrieli dan karya baharu yang ditugaskan oleh Markus Lehmann-Horn. – AP

Para pemuzik dengan alphorn membuat persembahan di atas bumbung pangsapuri di Dresden, Jerman. – AP
Para penghuni pangsapuri menikmati persembahan konsert melalui balkoni rumah mereka. – AP
Penonton mendengar alunan bunyi dari alphorn yang dimainkan. – AP