Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Konsisten amal vaksin ketuhanan lindungi negara

    Oleh Yusrin Junaidi

    Sekitar penghujung tahun 2019, masyarakat dunia digemparkan dengan penularan pandemik COVID-19 dan tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam yang juga mengesan kes pertamanya pada 9 Mac 2020.

    Namun Alhamdulillah Negara Brunei Darussalam telah ditakdirkan satu-satunya negara ASEAN yang tidak mencatatkan kes penularan tempatan melebihi masa setahun pada masa itu. Rahsia di sebalik itu adalah orang-orang Brunei secara bersepadu mematuhi arahan ‘memagar’ diri daripada sebarang risiko jangkitan.

    ‘Pagar’ yang dipakai ialah, selain tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan, Brunei juga secara khusus dan tersendiri menggunakan ‘vaksin ketuhanan’ yang dipelopori oleh raja sendiri.

    Dengan inisiatif dan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam perlaksanaan membaca Qunut Nazilah, sembahyang Hajat, berzikir, berdoa dan membaca Surah Yasin di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara serta secara tetap melalui radio dan televisyen telah dimulakan.

    Setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah SWT setentunya mengandungi hikmah yang perlu difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu dan jika dapat diketahui sedikit pun, kesannya mampu menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di dalam hati kita.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan mengurniakan titah perutusan khas mengenai Fasa Endemik pada 11 Disember 2021. – Gambar oleh Infofoto
    Rakyat dan penduduk negara ini disarankan untuk tidak leka dengan keadaan semasa dan tetap meneruskan langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan vaksin ketuhanan seperti pelaksanaan membaca Qunut Nazilah, sembahyang Hajat, berzikir, berdoa dan membaca Surah Yasin di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Sebagai salah satu usaha negara membendung penularan wabak, buku zikir-zikir dan doa-doa memohon kepada Allah SWT agar terselamat daripada segala penyakit telah diagihkan kepada orang ramai.
    Meskipun negara masih di bawah ancaman penularan wabak namun rakyat dan penduduk tetap menghadapinya dengan tenang, mengawal emosi, memperbanyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.

    Setelah 457 hari Negara Brunei Darussalam merekodkan tiada kes baharu tempatan, pada 7 Ogos 2021, negara kita dikejutkan lagi dengan tujuh kes jangkitan tempatan dengan mengisytiharkan gelombang kedua penularan wabak berkenaan di negara ini. Namun, rakyat dan penduduk tetap menghadapinya dengan tenang, mengawal emosi, memperbanyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.

    Setelah beberapa bulan negara bergelut membendung penularan wabak daripada kalangan penduduk tempatan, akhirnya negara kita berjaya memasuki Fasa Endemik. Walaupun negara telah memasuki Fasa Endemik, namun rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus berwaspada terhadap penularan wabak koronavirus.

    Rakyat dan penduduk negara ini disarankan tidak leka dengan keadaan semasa dan tetap meneruskan langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa.
    Semasa berkenan mengurniakan titah sempena pengisytiharan Fasa Endemik pada 15 Disember lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan sudah tiba masanya untuk melangkah setapak ke hadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah SWT.

    Sehubungan ini, Baginda Sultan dengan bertawakal kepada Allah SWT berkenan mengisytiharkannya, menegaskan bahawa tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. Tetapi sebaliknya, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan di kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baharu.

    Baginda turut menyeru agar rakyat dan penduduk beragama Islam kekal dan konsisten dengan amalan-amalan yang selama ini dilaksanakan, iaitu sembahyang hajat, membaca Al-Quran, berselawat, berdoa dan berzikir memohonkan rahmat Allah untuk membebaskan Brunei Darussalam daripada wabak koronavirus.

    Sehingga negara mencapai kemerdekaan ke-38 hari ini, Negara Brunei Darussalam masih lagi belum merdeka sepenuhnya daripada COVID-19 dan kes juga semakin hari semakin meningkat, namun sebagai umat Islam, reda dan tawakal serta amalan dan bertakwa kepadaNya tetap sahaja menjadi pegangan rakyat.

    Dengan Fasa Endemik dan percubaan negara hidup bersama virus tersebut, ikhtiar, reda dan tawakal melalui vaksin ketuhanan sedikit sebanyak memberangsangkan kerana keadaan masih terkawal, rakyat masih lagi berganding bahu dan memberi kerjasama baik dengan kerajaan berbanding banyak negara luar terjejas sebelum ini yang menyaksikan pelbagai kerenah seperti demonstrasi, tidak memberi kerjasama yang baik dan banyak lagi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan barisan menteri-menteri kabinet juga menaruh keyakinan, apa yang berlaku kepada negara adalah berpunca daripada keberkatan mendekati Allah.

    Sehubungan itu, rakyat dan penduduk perlu terus membiasakan diri dengan vaksin ketuhanan ini. Ia perlu dibuat dengan yakin dan sabar.

    Walau bagaimanapun orang ramai masih disarankan untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi yang masih belum mendapatkannya dan pengambilan vaksin penggalak juga adalah perlu memandangkan varian COVID-19 pada masa ini lebih agresif dan bahaya kepada mereka yang belum bervaksin.

    Semoga dengan kedua-dua vaksin itu, meskipun penularan tetap sahaja berlaku, rakyat dan penduduk terus mendapat perlindungan daripadaNya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...