Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Dalam satu dekad yang lalu kita telah menyaksikan peningkatan trend penggunaan pengangkutan kenderaan bermotor, teknologi dan urbanisasi di peringkat global dan tempatan.
“Trend itu telah membatasi tahap kegiatan fizikal di seluruh dunia, malah sekatan pergerakan fizikal yang disebabkan oleh beberapa gelombang pandemik COVID juga memburukkan lagi keadaan sejak dua tahun yang lalu di kebanyakan negara, termasuk Brunei Darussalam,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran buku Garispandu Kegiatan Fizikal Kebangsaan Edisi ke-2 bagi Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.
Sekatan pergerakan itu, katanya, telah banyak menjejaskan sebilangan penduduk, terutama mereka yang menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit, golongan berpendapatan rendah dan juga kanak-kanak yang menghabiskan masa membuat pengasingan diri dan tidak melakukan aktiviti fizikal.
Tahap kegiatan fizikal bagi Negara Brunei Darussalam, yang diperoleh daripada beberapa kaji selidik telah meningkat dari 65 peratus pada tahun 2011 ke 75 peratus pada tahun 2016 bagi golongan dewasa.
“Walaupun kadar kegiatan fizikal menunjukkan trend yang positif dalam kalangan penduduk secara amnya, namun sebahagian daripada golongan penduduk masih didapati belum dapat memenuhi saranan atau garis panduan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu,” tegas Yang Berhormat Dato.
Beliau memberikan contoh, di mana golongan wanita telah didapati dua kali ganda kurang aktif daripada golongan lelaki.
Selain daripada itu, Kaji Selidik Global School Health Survey 2019 yang terkini juga menunjukkan 88.5 peratus kalangan remaja masih tidak dapat mencapai sasaran kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari.
“Tidak melakukan kegiatan fizikal yang mencukupi adalah salah satu faktor risiko yang telah lama terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit tidak berjangkit dan kesan kesihatan yang buruk.
“Antara perkara yang bertentangan dengan kegiatan fizikal ialah aktiviti sedentari,” tekan Yang Berhormat Dato.
Aktiviti sedentari yang dimaksudkan ialah tingkah laku seperti duduk berpanjangan, melimpang atau berbaring di rumah, tempat kerja dan dalam kenderaan; dan meluangkan lebih banyak masa menggunakan peranti dan peralatan seperti telefon bimbit, komputer, televisyen atau permainan konsol video.
Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan kajian telah menunjukkan bahawa aktiviti sedentari yang berlebihan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan dan seterusnya dapat menyumbang kepada kadar penyakit kronik dan kematian.
“Oleh yang demikian, kegiatan fizikal yang tidak mencukupi dan ditambah dengan aktiviti sedentari yang berlebihan, boleh memburukkan dan menjejaskan keadaan kesihatan serta kesejahteraan fizikal dan mental kita, apatah lagi, dalam kalangan mereka yang sudah menghidapi dan terkesan oleh penyakit tidak berjangkit,” jelasnya.
Dalam hal itu, Yang Berhormat Dato menekankan kepentingan untuk kita memulakan atau mengekalkan amalan cara hidup sihat, dan seterusnya mengajar, menggalakkan dan memberikan motivasi kepada anak-anak, ahli-ahli keluarga, sahabat handai, pegawai dan kakitangan di pejabat serta siapa jua di bawah jagaan kita untuk berbuat demikian.
Menurutnya, melakukan kegiatan fizikal secara konsisten antara salah satu langkah amalan cara hidup sihat yang perlu menjadi amalan harian kerana ia bukan sahaja dapat mencegah masalah obesiti dan penyakit-penyakit tidak berjangkit serta dapat mengawal daripada terjadinya komplikasi-komplikasi yang berkaitan, malahan telah terbukti berkesan dalam membantu mengekalkan berat badan yang sihat.
Selain itu, ia dapat meningkatkan kesihatan mental; meningkatkan fungsi otak seperti pembelajaran, tumpuan perhatian dan ingatan; mengurangkan risiko osteoporosis atau kerapuhan tulang; serta mengurangkan jatuh dan kecederaan akibat jatuh, terutama sekali dalam kalangan warga emas; dan ianya juga boleh meningkatkan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan.
Oleh yang demikian, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru kepada semua untuk memulakan kembali dan membiasakan diri agar sentiasa kekal aktif, secara tetap dan berterusan, dalam kita menjalani fasa peralihan ini untuk terus hidup dan menjalankan aktiviti harian dengan COVID.
Pada masa yang sama, beliau turut mengongsikan bahawa beberapa ciri terbaharu akan diperkenalkan dan dikembangkan dalam aplikasi BruHealth dalam masa yang terdekat ini bagi memperkasa rakyat dan penduduk di negara ini dalam mengurus kesihatan masing-masing termasuklah mengadakan beberapa program yang akan mengingatkan dan menggalakkan kita untuk kekal aktif.