Konsul Israel dihalau

ISTANBUL, 16 Mei – Turki telah memaklumkan jeneral konsul Israel di Istanbul supaya meninggalkan negara itu buat sementara, lapor media kerajaan hari ini.

Perkara itu adalah yang terbaru dalam siri-siri penyingkiran balas balik dalam krisis yang semakin meningkat ekoran penembakan maut ke atas penduduk Palestin oleh Israel di sempadan Gaza.

Kementerian luar Turki telah memaklumkan konsul itu supaya meninggalkan Turki ‘dalam satu tempoh masa’ lapor agensi berita kerajaan, Anadolu.

Turki telah pun mengundurkan dutanya di Tel Aviv bagi rundingan dan memaklumkan duta Israel ke Ankara supaya meninggalkan negara itu, sementara Israel mengarahkan konsul Turki di Baitulmaqdis supaya meninggalkan tempat itu bagi tempoh masa yang tidak ditetapkan.

Pertikaian ini, yang semalam telah menyaksikan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu berbalas-balas sindiran melalui Twitter, mengancam perjanjian 2016 berhubung jalinan hubungan selepas krisis yang memakan masa lama.

Reaksi duta Israel ke Turki, Eitan Naeh (kiri) semasa berada di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul kelmarin ketika dia diarahkan untuk meninggalkan negara itu. – AFP

Turki telah melahirkan kemarahannya terhadap pembunuhan oleh tentera Israel itu pada Isnin lalu ke atas 60 orang penduduk Palestin di sempadan Gaza dan juga menyalahkan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang menyebabkan ketegangan itu.

Erdogan pada Jumaat nanti akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul yang menurutnya akan menghantar ‘mesej tegas kepada dunia’ berhubung isu itu.

Perjanjian perdamaian 2016 telah menamatkan pertikaian berhubung serangan maut pada Mei 2010 ke atas kapal Turki oleh komando-komando Israel yang menyaksikan hubungan kedua-dua negara terjejas.

Perjanjian itu disokong penuh oleh AS, yang ingin melihat Israel berdamai dengan salah sebuah dari beberapa buat negara-negara Islam yang utama.

Namun Erdogan, yang menganggap dirinya mengetuai pejuang-perjuang Palestin, tidak pernah mengelak daripada kritikan Israel meskipun para menteri menekan kerjasama tenaga antara kedua-dua negara.

Minggu ini Erdogan menuduh Israel melakukan ‘pembunuhan’ dan memberitahu Netanyahu bahawa dia mengetuai sebuah negara aparteid sementara tangannya ‘berlumuran dengan darah penduduk Palestin’. – AFP