Konsultasi pergigian melalui telefon diperkenalkan

Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Sejajar dengan penutupan beberapa lokasi klinik pergigian dan pengurangan perkhidmatan pergigian ke jenis rawatan kecemasan sahaja dan demi untuk mengawal penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara ini, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Pergigian memaklumkan mengenai pembukaan perkhidmatan konsultasi melalui telefon dan WhatsApp bagi pesakit-pesakit pergigian.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan dengan menghubungi talian 8117981 dan 8117936. Manakala itu, bagi mereka yang berhasrat untuk menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp sahaja, bolehlah menghubungi jabatan berkenaan melalui talian 8117635.

Waktu konsultasi adalah pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Perkhidmatan berkenaan diperkenalkan sebagai kaedah alternatif untuk mendapatkan nasihat pergigian bagi mengelakkan kunjungan yang tidak diperlukan sebagai langkah untuk mengurangkan interaksi antara orang ramai dengan kakitangan jabatan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa pada masa ini hanya rawatan-rawatan pergigian kecemasan yang tidak melibatkan aerosol sahaja yang dikendalikan dan ini tertakluk kepada saringan pemeriksaan di kaunter-kaunter yang disediakan di lokasi-lokasi yang berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Pergigian memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi.