Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Konsultasi SPK diteruskan di Pusat Promosi Kesihatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Tabung Amanah Pekerja (TAP) meneruskan lagi sesi konsultasi Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) bagi Ahli Berumur 50-59 tahun (Silver Generation) bagi sesi kedua bermula 27 Mac hingga 12 April dan disambung pada 17 April hingga 21 April yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

    Seramai 8,573 orang ahli yang berumur 50 hingga 59 tahun telah pun menghadiri sesi pertama konsultasi SPK yang telah diadakan pada 21 Februari hingga 21 Mac lalu, yang berlangsung di Dewan Sepakat 4, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Sesi konsultasi yang menggunakan kaedah konsultasi bersemuka akan menerangkan kepada ahli yang berumur 50 hingga 59 tahun, mengenai manfaat simpanan SPK berbanding dengan skim yang sedia ada pada masa ini.

    Maklumat utama seperti perkiraan anuiti bulanan yang akan diterima semasa bersara pada umur 60 tahun juga turut dikongsi.

    Dalam sesi berkenaan, pihak konsultan SPK akan menerangkan mengenai pilihan yang akan menunjukkan impak sekiranya ahli membuat pilihan untuk menyertai SPK secara terus ataupun menangguhkan penyertaan berkenaan.

    Bagi memastikan setiap ahli kategori Silver Generation diberikan penerangan yang lengkap supaya dapat membantu dalam membuat pilihan yang terbaik untuk hari persaraan nanti, sesi-sesi tambahan telah direncanakan di daerah-daerah lain seperti Daerah Belait pada 1 hingga 6 Mei di Dewan Bandaran Kuala Belait dan di Daerah Tutong pada 9 hingga 12 Mei di Dewan Serambangun, Pekan Tutong.

    Gambar fail pemberigaan SPK di salah sebuah kementerian kerajaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...